Kerajaan perkukuh ekosistem R&D, beralih kepada ‘Made by Malaysia’

22 Sep 2026, 6:18 AM
Kerajaan perkukuh ekosistem R&D, beralih kepada ‘Made by Malaysia’

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kerajaan sedang memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) Malaysia melalui mekanisme pembiayaan yang lebih berteraskan pasaran serta kerjasama lebih erat dengan industri, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata Malaysia sedang beralih daripada pendekatan ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’ dalam usaha memperkukuh penciptaan nilai dan memacu peningkatan ekonomi, dengan R&D memainkan peranan penting dalam usaha itu.

Walaupun perbelanjaan R&D Malaysia telah mencapai kira-kira satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau hampir RM20 bilion, katanya cabaran utama adalah menjadikan penyelidikan kepada hasil komersial.

“Isunya bukan hanya jumlah R&D tetapi sama ada ia membawa kepada pemerolehan nilai di negara ini, termasuk pemilikan harta intelek dan keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing pada peringkat global.

“Apa yang kami (kerajaan) mahu lakukan sebenarnya adalah memastikan bahawa kita menyediakan pasaran modal yang dapat membantu menyokong pembangunan syarikat tempatan dari semasa ke semasa dengan menyediakan modal,” katanya pada sesi panel di Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (URIIS) 2026 hari ini.

Amir Hamzah berkata kerajaan sedang memberi tumpuan kepada menyelaraskan usaha penyelidikan dengan keutamaan negara, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu, Strategi Semikonduktor Nasional dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara untuk menarik pelaburan dan meningkatkan prospek pengkomersialan.

Beliau berkata modal telah tersedia melalui inisiatif seperti program GEAR-uP apabila syarikat pelaburan berkaitan kerajaan telah memperuntukkan RM120 bilion dalam tempoh lima tahun, selain kira-kira RM10 bilion disalurkan kepada dana teroka dan pertumbuhan seperti Dana Perintis, Dana Permaju dan Dana Impak.

Bagaimanapun, katanya jurangnya terletak pada keupayaan penyelidik dan institusi untuk membawa inovasi ke pasaran.

“Kadangkala produk itu mungkin amat baik tetapi jika anda tidak tahu cara untuk meletakkan produk tersebut dalam pasaran dan menjualnya, pelabur tidak akan berminat untuk melabur,” katanya.

Amir Hamzah berkata universiti juga mempunyai peranan penting untuk dimainkan dengan beralih kepada penyelidikan gunaan dan memperkukuh kerjasama dengan industri, selain terus membina pengetahuan asas melalui penyelidikan asas.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.