SHAH ALAM, 22 SEPT: Beberapa ketua balai di Kelantan gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menahan seorang penagih setiap hari seperti yang ditetapkan dalam pelan strategi baharu bermula 15 Julai lalu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusuff Mamat berkata terdapat ketua balai yang tiada tangkapan dalam tempoh seminggu dah telah menerima surat teguran, lapor Berita Harian.
"Setakat ini ada enam hingga tujuh ketua balai beberapa daerah yang menyaksikan tiada tangkapan penagih dadah dalam tempoh seminggu. Mereka yang gagal mencapai KPI itu memberi alasan sukar untuk mendapatkan penagih, kononnya penagih sudah lari.
"Untuk kes berkenaan sekiranya tiada tangkapan dilakukan dalam tempoh seminggu, pasukan khas narkotik dari IPK akan turun dan sekiranya berjaya melakukan tangkapan, ketua balai terbabit akan dikenakan tindakan.
"Setakat ini dua ketua balai sudah diberikan surat teguran terlebih dahulu. Kita tegur dulu," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap minggu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan memberi taklimat kepadanya berhubung statistik tangkapan yang dilakukan oleh semua pihak mengikut KPI ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya ada sebahagian balai berjaya membuat tangkapan lebih daripada KPI yang ditetapkan.
"Bulan depan genap tiga bulan projek rintis pelan strategi baharu ini dan kita akan mengadakan mesyuarat untuk melihat hasil keseluruhan inisiatif yang dilakukan.
"Kita akan panggil semua ketua balai dan kita akan kenal pasti apa punca mereka gagal mematuhi sasaran yang ditetapkan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan memperkenalkan pelan strategi baharu dalam usaha mengekang pengedaran dadah di negeri ini termasuk setiap ketua balai perlu menahan sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari bermula 15 Julai lalu.
Pelan strategi itu dilakukan lebih menyeluruh dan berfokus membabitkan semua peringkat.







