KUALA LUMPUR, 22 JUN: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 berjaya mencapai semua petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, dengan kajian impak menunjukkan peningkatan positif dalam enam elemen utama pembentukan modal insan selepas peserta mengikuti latihan.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata setiap pelatih dikehendaki mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus pencapaian dalam enam elemen utama, iaitu patriotisme, perpaduan, disiplin dan transformasi diri, ketahanan mental dan kesiapsiagaan, pengetahuan ketenteraan serta semangat kesukarelawanan.
Beliau berkata penilaian KPI itu dilaksanakan menerusi kaji selidik dan kajian impak sebelum dan selepas latihan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
"Secara keseluruhannya, objektif dan KPI yang ditetapkan telah dicapai di semua latihan PLKN 3.0 dan semua indikator menunjukkan peningkatan yang positif selepas peserta mengikuti latihan berdasarkan dapatan kajian bagi siri kedua tahun ini.
“Pengetahuan ketenteraan menunjukkan peningkatan paling ketara apabila meningkat daripada 56 peratus sebelum latihan kepada 84 peratus selepas latihan, iaitu peningkatan sebanyak 27 peratus, sementara semangat kesukarelawanan meningkat daripada 75 peratus kepada 83 peratus," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sekijang Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Adly berkata tahap patriotisme peserta meningkat daripada 82 peratus kepada 88.98 peratus selepas latihan, skor perpaduan meningkat sebanyak sembilan peratus, aspek disiplin dan transformasi diri meningkat daripada 77.36 peratus kepada 92.6 peratus, manakala ketahanan mental meningkat daripada 71 peratus kepada 83 peratus.
Beliau berkata walaupun PLKN bukan program latihan pekerjaan, namun bekas pelatih PLKN 3.0 menerima nilai tambah apabila lima agensi berkuasa melantik bagi sektor awam bersetuju memberikan merit tambahan kepada peserta yang memenuhi syarat semasa proses temu duga dan pengambilan ke perkhidmatan awam.
Menjawab soalan tambahan Zaliha mengenai akses golongan belia B40 dan luar bandar kepada program itu, beliau berkata PLKN 3.0 dirangka untuk melibatkan semua belia tanpa mengira latar belakang, termasuk menerusi pengintegrasian elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam modul latihan.
Sementara itu, mengulas soalan tambahan Ahli Parlimen Ketereh Datuk Khlir Mohd Nor, Adly berkata sebanyak 3,404 pelatih telah mengikuti PLKN 3.0 setakat ini, merangkumi 1,202 peserta pada tahun lepas dan 2,202 peserta bagi siri kedua tahun ini.
Beliau berkata kementerian menyasarkan 4,200 peserta dapat dilatih menjelang akhir tahun ini di tiga kem latihan sedia ada, selain sedang melengkapkan sembilan lagi kem latihan dengan jangkaan melatih sehingga 9,200 peserta pada tahun depan.
Mengenai peserta yang tidak hadir selepas dipanggil menyertai latihan, beliau berkata antara faktor yang dikenal pasti ialah masalah kesihatan dan melanjutkan pelajaran.







