Jenazah tiga sekeluarga maut dalam kebakaran selamat dikebumikan satu liang lahad

20 Sep 2026, 2:30 PM
Jenazah tiga sekeluarga maut dalam kebakaran selamat dikebumikan satu liang lahad
Jenazah tiga sekeluarga maut dalam kebakaran selamat dikebumikan satu liang lahad

IPOH, 20 SEPT: Jenazah tiga sekeluarga yang maut dalam kebakaran di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun, di sini awal pagi tadi, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tambun di sini kira-kira 8.25 malam ini.

Terdahulu lebih 500 jemaah menunaikan solat jenazah buat Raja Ahmad Raja Ali, 70, Zaitun Mohamed, 64, dan cucu mereka Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, selepas solat Maghrib di Masjid Jamek Al Amin, Tambun di sini.

Kesemua mangsa selesai menjalani proses bedah siasat kira-kira 5.30 petang di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini dan sejurus selepas itu mereka dibawa ke masjid berkenaan dengan menaiki tiga van jenazah.

Hujan renyai-renyai menambah suasana pilu di kawasan tanah perkuburan dengan kira-kira 300 ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan turut mengiringi perjalanan akhir tiga sekeluarga itu.

Terdahulu, pasangan suami isteri warga emas dan cucu itu maut dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan pada 4 pagi, sebelum sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tambun dan Ipoh bergegas ke lokasi kejadian.

Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia akibat kebakaran tersebut namun seorang lagi penghuni Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, terselamat, kerana dipercayai tidur di ruang parkir rumah berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan bantuan awal sebanyak RM5,000 kepada keluarga mangsa kejadian kebakaran tersebut.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Mohamad Hairul Amir Sabri mewakili Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, kepada wakil keluarga Raja Ikhwan Hadi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.