Sukan Asia: Atlet karate lelaki sumbang pingat pertama negara

20 Sep 2026, 9:27 AM
Sukan Asia: Atlet karate lelaki sumbang pingat pertama negara

AICHI, 20 SEPT: Harapan Malaysia untuk membuka akaun pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tercapai selepas atlet karate lelaki, Thevendran Kaliana Sundram, meraih gangsa dalam acara kumite bawah 55 kilogram (kg), hari ini.

Pada aksi penentuan gangsa di Toyohashi Gymnasium, Thevendran tampil dominan apabila menewaskan wakil Nepal, Rakesh Manandhar, 9-1.

Thevendran mengumpul enam mata menerusi Yuko dan satu Ippon untuk memastikan kemenangan, manakala Rakesh hanya berjaya menghasilkan satu Yuko.

Kejayaan itu menyaksikan Thevendran menghadiahkan pingat pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya berkenaan.

“Pingat pertama saya untuk Malaysia... sangat gembira lagipun Sureeya (H.Sureeya Sankar) pun menang juga. Lepas saya menang, saya mahu bagi aura kepada dia dan kemenangan itu buat saya bertambah gembira.

“Saya sasar pingat emas tetapi tidak bernasib baik sebab kalah kepada atlet Uzbekistan sebelum bangkit untuk ke penentuan pingat gangsa,” kata Thevendran yang ditemui selepas pertandingan.

Kejayaan Thevendran pada masa sama menyuntik semangat buat kem karate bagi meraih gangsa kedua, juga pingat kedua negara menerusi Sureeya Sankar dalam acara kumite bawah 60kg.

Pada satu lagi aksi penentuan gangsa itu, Sureeya Sankar menumpaskan Chu Van Duc dari Vietnam 10-2.

Sureeya Sankar ketika ditemui turut melahirkan rasa syukur kerana tidak pulang dengan tangan kosong pada temasya itu.

“Gembira namun tetap terkilan tidak ke final. Saya harap kemenangan ini telah memberikan sesuatu kepada Malaysia,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.