SHAH ALAM, 21 SEPT: Niat membantu mangsa kemalangan boleh mengundang risiko lebih buruk sekiranya orang awam terus mengangkat atau memindahkan individu terbabit tanpa teknik dan peralatan sesuai.
Ketua Jabatan Pengurusan Kesihatan Profesional, Fakulti Kesihatan dan Sains Kehidupan, Management and Science University (MSU), Hamdan Ibrahim berkata mangsa mungkin mengalami kecederaan dalaman yang tidak dapat dikenal pasti melalui pemerhatian luaran.
“Kalau dia jatuh motosikal di tengah lebuh raya, kita memang tidak galakkan orang awam angkat mangsa dan bawa ke tepi.
“Kita tidak nampak keadaan dalaman, sama ada patah atau tidak. Bila kita angkat, kemungkinan keadaan itu menjadi lebih rumit dan menyebabkan lebih banyak komplikasi,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Menurut beliau, jika mangsa masih sedar, orang awam boleh bertanyakan bahagian yang sakit sebelum menghubungi ambulans dan memastikan kawasan sekitar selamat sementara bantuan tiba.
“Biarkan ambulans datang dan mereka akan angkat mangsa menggunakan peralatan perubatan. Kalau di jalan raya, orang ramai boleh bantu kawal trafik sementara bantuan sampai,” katanya.

Semak respons, pernafasan sebelum hubungi 999
Bagi mangsa yang tidak sedarkan diri, Hamdan berkata, orang awam perlu terlebih dahulu memeriksa tahap respons dan pernafasan.
“Pertama, kita pastikan mangsa itu sedar atau tidak sedar. Kita boleh tepuk bahu dan panggil mangsa untuk lihat ada respons atau tidak.
“Kemudian tengok pernafasan, sama ada dada bergerak atau tidak. Kalau tidak ada pernafasan, terus panggil 999,” katanya.
Beliau menjelaskan operator talian kecemasan akan mendapatkan maklumat asas seperti lokasi kejadian, jumlah mangsa dan keadaan individu terlibat.
“999 itu pusat panggilan kecemasan. Operator akan tanya lokasi di mana, berapa orang terlibat dan mangsa sedar atau tidak.
“Sebagai orang awam, kita hanya perlu beri maklumat yang diperlukan dan ikut arahan diberikan,” katanya.
Tekanan dada jadi tindakan utama ketika CPR
Mengulas mengenai resusitasi kardiopulmonari (CPR), Hamdan berkata tekanan dada merupakan antara komponen penting yang perlu diketahui masyarakat.

Menurut beliau, pendekatan CPR untuk orang awam kini lebih menumpukan kepada tekanan dada atau 'hands-only CPR', terutama apabila bantuan diberikan kepada individu tidak dikenali.
“Sekarang ini daripada garis panduan American Heart Association (AHA), untuk orang awam kita lebih kepada ‘hands-only CPR’, iaitu buat tekanan dada sahaja.
“Tekanan dada itu penting kerana kita mahu membantu mengepam jantung secara manual,” katanya.
Hamdan berkata latihan asas CPR penting bagi membolehkan orang ramai memahami kedudukan tangan, kedalaman tekanan dan kadar tekanan dada yang betul.
Menurutnya, kaedah tekanan dada juga berbeza mengikut kategori mangsa sama ada dewasa, kanak-kanak atau bayi.
“Secara prinsipnya untuk dewasa dua tangan, kanak-kanak satu tangan tetapi kita juga tengok saiz badan. Kalau badannya besar, boleh gunakan dua tangan.
“Untuk bayi pula ada kaedah menggunakan dua jari atau satu tangan. Prinsip awalnya masih sama, iaitu periksa respons, tengok pernafasan dan panggil bantuan,” katanya.
Justeru, beliau menggalakkan orang ramai mengikuti latihan CPR secara praktikal supaya bantuan dapat diberikan menggunakan teknik yang betul ketika berdepan kecemasan.

Jaga privasi mangsa, bukan kejar kandungan tular
Dalam pada itu, Hamdan mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu ghairah merakam kejadian kecemasan sehingga mengabaikan keselamatan dan privasi mangsa.
“Dalam situasi kecemasan, perkara pertama kita kena fikir ialah privasi mangsa.
“Contohnya mangsa perempuan terjatuh atau pengsan dan auratnya terbuka. Perkara seperti itu kita kena pertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata rakaman mungkin berguna sebagai bahan bukti dalam keadaan tertentu, namun penyebaran visual kecederaan serius semata-mata untuk menjadi tular perlu dielakkan.
“Kalau untuk bahan pembuktian, boleh. Tetapi kalau untuk diviralkan, kena kawal.
“Kalau keadaan mangsa menunjukkan kecederaan serius, dari segi etika pada saya tidak perlulah kita rakam video dan sebarkan,” katanya.










