SHAH ALAM, 19 SEPT: Aktiviti rakit redah jeram (water rafting) enam individu di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu bertukar tragedi apabila seorang wanita lemas, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.52 petang.
Menurutnya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata berdasarkan keterangan rakan mangsa, wanita berusia 34 tahun itu menaiki bot rafting bersama lima individu lain.
Bagaimanapun, bot dinaiki kumpulan berkenaan terbalik ketika berada di jeram pertama menyebabkan kesemua mereka terjatuh ke dalam air.
“Kesemua mereka terkeluar dari bot kira-kira jam 12 tengah hari. Mangsa didapati tersangkut di dasar air dan rakannya cuba mengeluarkan mangsa daripada halangan.
“Anggota bomba kemudian membawa mangsa ke lokasi selamat sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ashrul Riezal berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu dan operasi tamat jam 6.30 petang.







