SHAH ALAM, 19 SEPT: Pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bakal menerima manfaat lebih besar mulai 1 Oktober menerusi pelaksanaan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata antara penambahbaikan utama ialah pengenalan Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1,000 secara sekali bayar kepada pencarum yang memperoleh pekerjaan baharu dengan jarak melebihi 100 kilometer dari kediaman.
Selain itu, Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) dinaikkan daripada 25 peratus kepada 50 peratus.
"Dalam masa yang sama, Elaun Latihan dinaikkan daripada RM10 kepada RM30 sehari, manakala Fi Latihan ditingkatkan daripada maksimum RM4,000 kepada sehingga RM7,000.
"Ini bermakna pencarum mendapat sokongan yang lebih baik untuk mengikuti latihan, meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja semasa," katanya seperti dilapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Festival Mega iLINDUNGu di Petaling Jaya, hari ini.
Jelas Ramanan, di bawah Akta 800, sokongan dan perlindungan SIP bagi seorang pencarum boleh mencecah sehingga RM25,000.
"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelayakan dan faedah yang diterima," katanya.
Sementara itu, Festival Mega iLINDUNGu yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam menyediakan kaunter khas Opt-in LINDUNG 24 Jam bagi membolehkan pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak meneruskan perlindungan itu mendaftar semula secara terus.
Majikan turut berpeluang menikmati diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB), manakala pengunjung boleh membuat semakan caruman, mendapatkan khidmat nasihat berkaitan faedah serta mendaftar skim PERKESO.
Festival itu turut menghimpunkan 11 agensi dan jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), termasuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).






