Aidiladha 2026: Menteri Kabinet seru rakyat hayati semangat pengorbanan

27 Mei 2026, 12:00 AM
Aidiladha 2026: Menteri Kabinet seru rakyat hayati semangat pengorbanan

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Barisan Menteri Kabinet menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam, sambil menyeru seluruh rakyat untuk menghayati erti pengorbanan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata semoga pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anakandanya Nabi Ismail AS, dapat dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan harian seluruh umat Islam.

Beliau yang sedang menunaikan ibadah haji turut menyampaikan ucapan Aidiladha kepada pasukan keselamatan yang sedang berkorban menjaga sempadan negara dan berdoa agar sumbangan mereka akan sentiasa dinilai oleh Allah SWT di akhirat kelak.

“Saya juga menyeru kepada orang ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung, supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya, supaya ketibaan kita akan disambut gembira oleh orang-orang tersayang,” katanya menerusi ucapan video yang dimuat naik di Facebook.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pula berkata Aidiladha mengingatkan umat Islam kepada kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang mencerminkan kepatuhan sepenuhnya kepada perintah Allah SWT.

“Di hari yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menghayati makna sebenar Aidiladha yang menuntut nilai pengorbanan, keikhlasan, kesyukuran dan kasih sayang sesama insan,” katanya.

Armizan berkata sambutan Aidiladha juga wajar dijadikan medan untuk memperkukuh sifat tawaduk, sentiasa bersyukur atas segala nikmat serta terus berkongsi rezeki dan berbuat kebaikan kepada golongan yang memerlukan.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata Aidiladha bukan sekadar disambut dengan menjalankan ibadah korban, tetapi juga hari untuk menghayati nilai keprihatinan, perpaduan dan tanggungjawab sesama masyarakat.

Ramanan berkata Malaysia akan terus kukuh apabila rakyatnya memilih perpaduan berbanding perpecahan, serta menyemai semangat hormat-menghormati dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.

“Dalam kepelbagaian bangsa, agama dan budaya di negara ini, Aidiladha membawa mesej besar tentang ihsan, kebersamaan dan saling menghormati.

"Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS mengajar kita bahawa kekuatan sesebuah negara lahir apabila rakyatnya sanggup berkongsi, membantu dan berdiri bersama tanpa mengira perbezaan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh turut menekankan kekuatan sebenar gagasan Malaysia MADANI terletak pada kesediaan rakyat untuk bergandingan bahu dan saling menyantuni tanpa mengira latar belakang.

Menteri Digital Gobind Singh Deo turut tidak ketinggalan menyampaikan ucapan Aidiladha melalui media sosialnya, mewakili seluruh warga kementerian itu.

“Semoga sambutan Aidiladha kali ini akan membibitkan rasa syukur dan kebersamaan yang lebih kukuh sesama kita semua,” kata Gobind.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) berharap agar sambutan Aidiladha 1447 membawa ketenangan, keinsafan dan kesejahteraan kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

“Berlandaskan prinsip MADANI, marilah kita terus menyemai nilai pengorbanan, keprihatinan dan semangat kebersamaan demi memperkukuh perpaduan negara.

“Semoga penghayatan Aidiladha ini mempererat ukhuwah serta memupuk kesejahteraan bersama ke arah Malaysia yang lebih harmoni, maju dan Makmur,” menurut MOT menerusi hantaran di Facebook.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.