Video pementasan tular: MCMC kenal pasti beberapa individu, akaun media sosial

19 Sep 2026, 3:05 AM
Video pementasan tular: MCMC kenal pasti beberapa individu, akaun media sosial

SHAH ALAM, 19 SEPT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti beberapa individu serta akaun media sosial berkaitan bagi membantu siasatan berhubung video pementasan yang kini tular.

MCMC memaklumkan semakan awal mendapati rakaman yang didakwa mengandungi kandungan menyentuh institusi Raja, Malaysia serta Rukun Negara itu berasal daripada sebuah pementasan pada 2018 dan kini kembali disebarkan di media sosial.

“MCMC telah mengenal pasti beberapa akaun media sosial dan individu berkaitan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MCMC, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan siasatan termasuk berkaitan bukti digital.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan mengenai individu yang dikaitkan dengan video tersebut bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses siasatan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang meminta PDRM dan MCMC menjalankan siasatan segera serta menyeluruh berhubung video pementasan berkenaan yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi Raja, Malaysia serta Rukun Negara.

Beliau berkata tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, dengan siasatan mengambil kira peruntukan berkaitan termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyifatkan pementasan berkenaan sebagai pelanggaran adab dan kemungkaran sosial yang merosakkan ikatan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau turut menggesa pihak penganjur memohon maaf secara terbuka, selain meminta pihak berkuasa dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.