Individu gaduh dengan penumpang di stesen Labu kakitangan kontraktor, bukan KTMB

18 Sep 2026, 10:29 AM
Individu gaduh dengan penumpang di stesen Labu kakitangan kontraktor, bukan KTMB

SHAH ALAM, 18 SEPT: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggantung tugas serta-merta seorang kakitangan syarikat kontraktor yang bergaduh dengan penumpang di Stesen Labu pada Selasa lalu.

KTMB memaklumkan individu terbabit bukan kakitangannya, sebaliknya kakitangan syarikat kontraktor yang dilantik untuk menjalankan perkhidmatan di stesen berkenaan.

“KTMB memandang serius insiden pertelingkahan yang berlaku dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk tindakan atau tingkah laku tidak profesional ketika berurusan dengan penumpang.

“Sehubungan itu, pihak kontraktor lantikan sudah memaklumkan tindakan serta-merta diambil terhadap kakitangan terbabit dengan menggantung tugas individu itu berkuat kuasa serta-merta sementara siasatan terperinci dijalankan.

“Tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut. KTMB akan terus bekerjasama dengan pihak kontraktor bagi memastikan perkara ini ditangani dengan sewajarnya serta memastikan semua kakitangan yang bertugas di premis dan kemudahan KTMB sentiasa mematuhi tatacara kerja serta standard perkhidmatan ditetapkan.

“KTMB kesal atas kesulitan yang dialami penumpang susulan gangguan perkhidmatan berkenaan dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua penumpang yang terbabit,” maklumnya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai insiden itu, KTMB memaklumkan ia berlaku susulan gangguan perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan Batu Caves-Pulau Sebang selepas tren terlanggar seekor babi antara Batang Benar dan Labu di kilometer 446.092, sehingga menyebabkan tren berkenaan terkandas di laluan.

“Susulan kejadian itu, kira-kira 300 penumpang diturunkan di Stesen Labu bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.

“Gangguan itu turut menyebabkan kelewatan sehingga dua jam lima minit berbanding jadual asal.

“Bagi membantu pergerakan penumpang di Stesen Labu, KTMB sudah mengarahkan beberapa kakitangan dari Stesen Seremban ke lokasi bagi membantu melancarkan pengurusan penumpang,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.