PUTRAJAYA, 17 SEPT: Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini menegaskan bahawa surat yang mendakwa kelulusan Jemaah Menteri telah diberikan bagi cadangan Projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) untuk kerja pelebaran Lebuhraya PLUS bertarikh 17 Julai 2026 adalah palsu.
PMO dalam kenyataan hari ini menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengeluarkan atau menandatangani surat berkenaan serta menafikan sebarang kaitan dengan dokumen dan kelulusan seperti yang didakwa.
“PMO telah membuat laporan polis berhubung pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan nama Perdana Menteri serta identiti rasmi PMO.
“Tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, PMO menasihatkan orang ramai supaya tidak terperdaya, menyebarkan atau berkongsi dokumen palsu berkenaan.










