Pindah padang awam ke sebelah SJKT Bangi, mudahkan akses pelajar - EXCO

17 Sep 2026, 4:37 AM
Pindah padang awam ke sebelah SJKT Bangi, mudahkan akses pelajar - EXCO

SHAH ALAM, 17 SEPT: Lokasi padang awam yang diluluskan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dicadang dipindahkan ke hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bangi bagi memudahkan akses pelajar kepada kemudahan sukan dan rekreasi.

EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu berkata cadangan itu dikemukakan susulan permintaan ibu bapa pelajar supaya sekolah berkenaan mempunyai kemudahan padang yang lebih mudah diakses.

Beliau berkata, padang awam berkenaan sudah diluluskan dan disediakan dalam pelan pembangunan, namun lokasinya agak jauh dari sekolah kerana terletak di bahagian utara kawasan pembangunan.

"Saya mencadangkan untuk pembinaan padang itu dipindahkan di hadapan SJKT Bangi.

"Cadangan tersebut tidak melibatkan penambahan keluasan tanah, tetapi hanya kedudukannya sahaja dipindahkan supaya lebih mudah dimanfaatkan bukan saja kepada penduduk setempat, malah kepada pelajar sekolah," katanya ketika dihubungi.

EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berkaitan status tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bangi bersama agensi berkaitan di pejabatnya di Shah Alam pada 15 September 2026. Foto Facebook Papparaidu Veraman

Papparaidu berkata, kemudahan itu juga boleh dikongsi antara pihak sekolah dan komuniti dengan memberikan akses kepada pelajar pada hari persekolahan, manakala penduduk setempat boleh menggunakannya pada hari tanpa aktiviti sekolah.

"Saya mencadangkan perkara tersebut mengikut pengalaman pelaksanaan konsep yang sama di Seksyen 18, Shah Alam sebelum ini dengan membolehkan kemudahan padang awam digunakan bersama oleh sekolah dan komuniti.

"Perkara ini saya lihat sebagai penyelesaian yang memberi kelebihan kepada semua pihak," katanya.

Baru-baru ini, Papparaidu mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berkaitan status tanah SJKT Bangi bersama agensi berkaitan.

Beliau berkata, cadangan pemindahan lokasi padang itu masih memerlukan persetujuan pihak pemaju dan berharap penyelesaian dapat dicapai segera tanpa menimbulkan pertikaian antara semua pihak.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.