SHAH ALAM, 16 SEPT: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil maklum kebimbangan segelintir pengguna berhubung kenaikan bil elektrik, terutama berkaitan dengan komponen Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).
TNB berkata AFA sebagai mekanisme dua hala yang menyeimbangkan perubahan kos bahan api dan kadar tukaran wang asing di pasaran global yang diperkenalkan sejak 1 Julai 2025 bagi menggantikan Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) itu bukanlah caj tambahan baharu dan tidak menyalurkan keuntungan kepada pihak syarikat.
"Pengguna domestik dengan penggunaan 600 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada caj AFA, cukai perkhidmatan lapan peratus serta Caj Peruncitan.
"Pengguna dalam kategori ini malah membayar sekitar dua hingga 14 peratus lebih rendah berbanding tarif terdahulu bergantung kepada tahap penggunaan bulanan mereka," katanya dalam kenyataan.
Menurut TNB, pengguna telah menikmati penjimatan menerusi rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 sehingga April 2026 apabila kos bahan api global berada pada tahap rendah.
"Pelaksanaan kadar surcaj pula hanya mula dikenakan pada Mei 2026 berikutan peningkatan mendadak kos penjanaan yang berpunca krisis di rantau Asia Barat.
"Sejak mekanisme AFA diperkenalkan, pengguna secara keseluruhannya telah menerima jumlah rebat yang jauh lebih besar iaitu RM3.1 bilion, berbanding nilai surcaj yang direkodkan pada RM0.8 bilion," katanya.
TNB memalkumkan kerajaan turut menyalurkan dana tambahan bernilai RM435 juta menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan impak surcaj AFA kepada pengguna.
Susulan daripada itu, Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa satu mesyuarat khas akan diadakan esok berhubung isu ini. (https://mediaselangor.com/ms/2026/09/396013)
Mesyuarat tersebut melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk meneliti langkah mitigasi segera bagi mengurangkan beban isi rumah yang terjejas akibat kenaikan bil elektrik.








