Jerebu: Kerajaan Negeri teliti langkah lindungi murid, bincang Jumaat ini

16 Sep 2026, 10:29 AM
Jerebu: Kerajaan Negeri teliti langkah lindungi murid, bincang Jumaat ini
Jerebu: Kerajaan Negeri teliti langkah lindungi murid, bincang Jumaat ini
Jerebu: Kerajaan Negeri teliti langkah lindungi murid, bincang Jumaat ini

PUTRAJAYA, 16 SEPT: Kerajaan Negeri akan meneliti langkah susulan bagi menangani keadaan jerebu di Selangor termasuk usaha mengurangkan pendedahan murid terhadap pencemaran udara.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Jumaat ini selepas mengambil kira laporan daripada agensi terlibat.

"Kita tengok lagi keadaan. Jumaat ini kita ada mesyuarat EXCO, kita akan bincangkan dengan teliti langkah-langkah susulan kerana selepas agak reda pada hari Ahad, keadaan kembali buruk terutama semalam dan hari ini.

"Kita akan tengok hari Jumaat nanti ikut laporan daripada semua pihak," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Festival Buku Islami 2026 di Masjid Putra, di sini hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga akan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sebelum menentukan langkah yang perlu dilaksanakan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam majlis perasmian Festival Buku Islami 2026 di Masjid Putra, Putrajaya pada 16 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian ialah keadaan murid di sekolah memandangkan mereka berada dalam tempoh yang panjang di kawasan berkenaan.

"Langkah-langkah yang patut dibuat termasuk cuba untuk membantu di sekolah dan juga mengawal anak-anak kita yang belajar kerana mereka mempunyai masa agak panjang di sekolah.

"Dan menghadkan aktiviti luar supaya tidak terdedah kepada jerebu dan sebagainya," ujarnya.

Kualiti udara di Selangor terus merosot apabila kesemua enam stesen pemantauan di negeri ini merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat pagi ini.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) setakat 8.27 pagi, Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi di Selangor iaitu 185.

Ia diikuti Shah Alam dengan bacaan 175, Petaling Jaya (168), Klang (167), Banting (166) dan Kuala Selangor (165).

Kesemua bacaan berkenaan berada dalam kategori tidak sihat iaitu antara 101 hingga 200.

Kerajaan Negeri sebelum ini memaklumkan pemantauan terhadap situasi jerebu dilaksanakan secara berterusan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangan plak perasmian dalam majlis perasmian festival buku islami 2026 di Masjid Putra, Putrajaya pada 16 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.