MIHAS 2026: MATRADE lancar WiEX perkasa usahawan wanita tembusi pasaran halal global

16 Sep 2026, 7:45 AM
MIHAS 2026: MATRADE lancar WiEX perkasa usahawan wanita tembusi pasaran halal global

SHAH ALAM, 16 SEPT: Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bakal melancarkan platform Women in Export (WiEX) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22 bagi memperkukuh penyertaan usahawan wanita dalam perdagangan antarabangsa, khususnya sektor halal global.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata penglibatan lebih ramai usahawan wanita penting bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi halal.

“WiEX @MIHAS meletakkan usahawan wanita sebagai peneraju dalam memacu inovasi, kualiti dan keupayaan menyesuaikan diri dalam ekonomi halal.

“Setiap wanita yang berkembang maju menerusi platform ini membawa kita lebih dekat kepada sasaran eksport halal bernilai RM80 bilion menjelang 2030. Ini bukan sekadar dasar yang baik, malah langkah yang baik untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.

Platform itu akan berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 September ini selari dengan komitmen MATRADE memperkasa syarikat milik dan diterajui wanita untuk menembusi pasaran luar negara serta memanfaatkan peluang eksport dalam ekonomi halal.

Bertemakan “Advancing Women in the Halal Economy”, WiEX @MIHAS 2026 merangkumi empat komponen utama iaitu WiEX Pavilion, International Sourcing Programme (INSP), WiEX Forum @MIHAS dan Anugerah Wira Ekonomi Wanita.

WiEX Pavilion menyediakan 80 ruang pameran bagi menampilkan perusahaan milik dan diterajui wanita dari Malaysia serta antarabangsa, termasuk 60 ruang untuk syarikat Malaysia.

Menerusi INSP, MATRADE membawa 300 pembeli antarabangsa dari pelbagai negara untuk dipertemukan dengan syarikat Malaysia, dengan lebih 120 sesi padanan perniagaan disasarkan bagi peserta WiEX Pavilion.

WiEX Forum @MIHAS pula menjadi platform perkongsian ilmu berkaitan cabaran perdagangan global, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), penerokaan pasaran baharu serta pembinaan perniagaan yang berdaya tahan dan mampan.

Pada masa sama, Anugerah Wira Ekonomi Wanita akan mengiktiraf pencapaian usahawan wanita dalam tiga kategori iaitu Kecemerlangan Produk, Kecemerlangan Perkhidmatan serta Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata platform itu menyediakan ekosistem menyeluruh yang menghimpunkan peluang perniagaan, kerjasama strategik, pembangunan kapasiti dan pengiktirafan.

“Usahawan wanita semakin memainkan peranan penting dalam memacu inovasi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi merentasi pelbagai sektor.

“Pendekatan berkenaan dapat melengkapkan perniagaan diterajui wanita dengan rangkaian, pengetahuan dan akses pasaran bagi memperkukuh keupayaan eksport serta bersaing di peringkat global,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.