SHAH ALAM, 17 NOV: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025 berjaya merekodkan RM57.39 juta nilai potensi perniagaan melibatkan usahawan bimbingan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan SME Corp, sekali gus mengukuhkan peluang eksport produk halal Selangor ke pasaran China.
PKNS dalam kenyataan memaklumkan jumlah itu merangkumi RM45.64 juta daripada aktiviti sepanjang pameran, manakala RM11.74 juta lagi dijana melalui sesi padanan perniagaan (BizMatch) yang diadakan khas untuk peserta Program Pecutan Eksport (EAP) pada 4 November lalu.
"MIHAS Shanghai yang berlangsung dari 5 hingga 10 November di National Exhibition and Convention Center (NECC), Shanghai itu disertai 10 usahawan PKNS yang mempromosikan produk makanan halal, kudapan, minuman, suplemen dan barangan pengguna cepat laris.
"Selain pameran utama anjuran MATRADE, usahawan turut mengambil bahagian dalam sesi product pitching bersama lima pembeli antarabangsa bagi membuka peluang pengedaran lebih meluas di pasaran Asia Timur," menurut kenyataan.
PKNS menjelaskan kejayaan tersebut menunjukkan potensi besar produk halal Selangor di pasaran China yang mempunyai lebih 26 juta pengguna Muslim serta permintaan tinggi terhadap produk berkualiti.
Menurut PKNS, platform seperti MIHAS Shanghai terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan eksport halal negeri dengan memberi akses langsung kepada jaringan perdagangan global serta meningkatkan daya saing usahawan di peringkat antarabangsa.
Antara syarikat terlibat ialah Sumatraa Industries, Aducktive Food, BS Fitness Nutrition, Monstr Confectionary, Doluvo (Popsmalaya), Nims Adeliciousz, Pisango, Faiza Marketing, KKMY Group dan Munif Hijjaz Marketing.
PKNS menegaskan komitmen untuk terus memperkasa usahawan negeri melalui pendedahan antarabangsa, selaras usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan dan pertumbuhan ekonomi Selangor.




