SHAH ALAM, 16 SEPT: Sebanyak 57 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di RSA Kundang Barat, Lebuhraya LATAR, hari ini.
Operasi yang dijalankan menerusi kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Gombak tersebut juga menahan lapan individu disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Polis Daerah Gombak menerusi Facebook memaklumkan, pemeriksaan polis ke atas 90 kenderaan membabitkan seramai 110 individu dalam operasi berkenaan pula berjaya mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans serta mengubah suai nombor pendaftaran.
“Sebanyak 57 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan sepanjang operasi dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, ujian saringan air kencing juga dijalankan terhadap individu yang diperiksa dalam operasi berkenaan.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati lapan individu ditahan disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Kesemua individu yang ditahan kemudiannya diserahkan kepada AADK Daerah Gombak untuk tindakan selanjutnya.









