Gayong angkat kisah legenda silat negara

27 Apr 2026, 3:00 AM
Gayong angkat kisah legenda silat negara

Sebagaimana dunia mengenali Wing Chun menerusi filem Ip Man, Gayong tampil dengan misi hampir sama - mengangkat tokoh silat negara, Dato’ Meor Abdul Rahman ke pentas yang lebih besar.

Kedua-duanya berkongsi satu persamaan - kisah mahaguru seni bela diri yang bukan sekadar hebat di gelanggang, tetapi menjadi simbol warisan, disiplin dan jati diri bangsa.

Dalam dunia filem, kisah yang diceritakan dengan jujur dan kuat mampu melangkaui sempadan bahasa dan budaya, sebagaimana Ip Man membuka mata dunia terhadap mahaguru kepada Bruce Lee itu.

Naskhah Gayong pula berusaha memperlihatkan bahawa silat bukan sekadar gerak tempur, tetapi identiti yang sarat dengan nilai sejarah dan spiritual masyarakat Melayu.

Bagi sutradaranya, Khairul Anuar Latip, impian melihat pengasas Silat Gayong itu dikenali pada peringkat antarabangsa bukan sekadar angan-angan kosong.

Berpengalaman lebih tiga dekad dalam industri, beliau melihat filem bukan sekadar hiburan tetapi sebagai rakaman sejarah yang akan ditinggalkan kepada generasi akan datang.

“Sebagai pembikin filem, kita ada tanggungjawab. Apa yang kita angkat hari ini akan menjadi rujukan generasi akan datang,” katanya kepada Media Selangor.

Khairul Anuar Latip

Dalam dunia yang pantas berubah, ada kisah yang perlahan-lahan dilupakan. Nama besar seperti Meor Abdul Rahman, meskipun mempunyai jutaan pengikut Silat Gayong di seluruh dunia, masih belum benar-benar dikenali secara meluas.

Kesedaran inilah yang mendorong Khairul Anuar memperkenalkan semula tokoh tersebut kepada generasi baharu.

“Ramai yang tahu tentang Gayong, tapi tidak benar-benar mengenali siapa beliau. Dari situ saya rasa kita perlu perkenalkan semula.

“Perjuangan itu bukan hanya fizikal. Ia juga tentang adab, prinsip dan bagaimana kita menghadapi kehidupan,” ujar penerbit yang juga penulis itu.

Dalam konteks industri, penerbitan filem berunsurkan sejarah dan warisan bukanlah sesuatu yang mudah kerana perlu seiring dengan kehendak pasaran.

Foto Facebook Filem Gayong Rasmi

Namun, kejayaan filem tempatan seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebelum ini membuktikan karya berteraskan sejarah masih mendapat tempat dalam kalangan penonton.

Ia membuka ruang keyakinan bahawa kisah tempatan mampu berdiri megah, selagi ia disampaikan dengan jiwa dan kejujuran.

Gayong merupakan filem arahan Faisal Ishak yang diterajui Beto Kusyairy sebagai Meor Abdul Rahman, selain Nabila Huda dan Syafie Naswip. Ia ditayangkan pada Mei tahun lalu.

Kesinambungannya, Gayong 2 pula menemui penonton pada 9 April lalu. Turut membintangi filem aksi drama biografi itu ialah Yayan Ruhain, Hanna Aqeela, Sandra Lim dan ramai lagi.

Menyedari luasnya kisah kehidupan tokoh ini, Khairul Anuar menjelaskan perancangan membangunkan kesinambungan filem itu telah dirangka sejak awal.

“Kisah beliau sangat luas. Kita tak boleh ceritakan semuanya dalam satu filem, sebab itu kita rancang kesinambungan,” jelasnya.

Namun begitu, kejayaan sesebuah karya tidak pernah dijanjikan. Apa yang mampu dilakukan hanyalah memastikan setiap karya yang dihasilkan lebih baik daripada sebelumnya, dari sudut penceritaan, kandungan dan nilai produksi.

Justeru, beliau menyeru sokongan daripada pihak berkuasa yang dilihat sebagai nadi penting dalam memastikan karya berteraskan warisan ini terus hidup.

"Walaupun tidak menyeluruh, setiap bentuk bantuan dan insentif tetap memberi nafas kepada usaha ini untuk terus bergerak ke hadapan," katanya.

Legenda Silat Gayong, Dato’ Meor Abdul Rahman

SEKILAS FAKTA

• nama penuh: Dato’ Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim

• tarikh lahir: 17 Ogos 1915

• tempat lahir: Kampung Lake Garden, Taiping, Perak

• meninggal dunia: 23 Jun 1991 (umur 75 tahun)

• dikenali sebagai pengasas Silat Gayong Malaysia

• menuntut ilmu persilatan daripada datuknya, Syed Zainal Syed Idris Al–Attas (hulubalang negeri Pahang)

• mengasas Silat Gayong sebagai antara aliran silat terbesar di Malaysia

• memperkenal dan mengembang silat ke peringkat antarabangsa

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.