SHAH ALAM, 16 SEPT: Lebih 150 peserta terdiri daripada guru, guru besar dan warga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat menyertai Konvoi Kembara Merdeka Daerah Kuala Langat 2026 hari ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat Datuk Borhan Aman Shah berkata konvoi bermula seawal 6.15 pagi dari Sekolah Kebangsaan Kebun Bharu, Telok Panglima Garang sebelum bergerak ke PPD Kuala Langat.
Menurutnya, peserta kemudian meneruskan perjalanan ke Dataran Pantai Batu Laut bagi menghadiri majlis perasmian program.
“Konvoi ini disertai lebih 150 peserta yang terdiri daripada guru-guru, guru besar serta warga PPD Kuala Langat.
“Saya amat menghargai semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh warga pendidikan dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara bersempena sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya menerusi Facebook.
Borhan turut merakamkan penghargaan kepada PPD Kuala Langat, semua peserta serta urus setia yang menjayakan program berkenaan.
Beliau turut berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Kuala Langat atas kerjasama memastikan keselamatan dan kelancaran konvoi sepanjang program berlangsung.
“Semoga semangat kebersamaan dan kecintaan kepada tanah air ini terus subur dalam jiwa kita semua,” katanya.









