Harmoni dalam kepelbagaian kaum, pelihara perpaduan bersama

13 Feb 2026, 4:00 AM
Harmoni dalam kepelbagaian kaum, pelihara perpaduan bersama

Malaysia merupakan negara unik yang ditunjangi masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya. Keunikan ini menuntut persefahaman dan toleransi tinggi bagi mengekal keamanan.

Bagi umat Islam, panduan membina hubungan kaum yang harmoni tidak hanya bersandar kepada kontrak sosial atau perlembagaan semata-mata, bahkan berakar umbi daripada prinsip syarak yang komprehensif.

Al-Quran tidak melihat perbezaan kaum sebagai alasan berpecah belah, sebaliknya sebagai ketetapan Allah (sunnatullah) untuk tujuan mulia.

Dalam surah Al-Hujurat, ayat 13, Allah berfirman:

"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra) antara satu sama lain..."

Ayat ini jelas menekankan konsep ta'aruf (saling mengenali) asas hubungan kemanusiaan. Perbezaan bukan menimbulkan konflik tetapi saling melengkapi.

Islam mengajar kemuliaan seseorang tidak diukur berdasarkan keturunan atau warna kulit melainkan ketakwaan. Ini menghapus semangat perkauman melampau (asabiyyah) yang merosakkan ikatan sosial.

Rasulullah SAW menerusi hadis-hadis menetapkan piawaian tinggi dalam melayan bukan muslim, terutama dalam konteks negara yang didiami bersama.

Baginda bersabda:

"Sesiapa yang menzalimi seorang mu’ahid (bukan muslim yang terikat perjanjian) atau mengurangkan haknya atau membebaninya di luar kemampuannya atau mengambil sesuatu daripadanya tanpa kerelaan hatinya, maka aku akan menjadi penuntut bela bagi pihak orang itu pada hari kiamat." (Riwayat Abu Daud).

Hadis itu asas kepada kewajipan menjaga hak jiran tetangga dan rakyat bukan Islam di Malaysia. Hubungan kaum dalam Islam berteras keadilan dan ihsan (berbuat kebaikan).

Umat Islam dituntut bersikap adil dalam urusan muamalat dan sosial serta menunjukkan akhlak baik sebagai cerminan ajaran Islam sebenar.

Jaga perpaduan

Maqasid Syariah (matlamat syarak) bertujuan memelihara lima perkara asas - agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Dalam konteks hubungan kaum, prinsip itu menuntut kepada hifz al-nafs (menjaga nyawa) dan hifz al-mal (menjaga harta).

Apabila hubungan kaum terganggu, keamanan negara terancam, ini secara langsung mengancam kelima-lima perkara asas.

Oleh itu, menjaga perpaduan kaum di Malaysia suatu tuntutan maqasid kerana ia menjamin kestabilan negara (dar' al-mafasid - menolak kerosakan) yang membolehkan umat Islam beribadah dan mencari rezeki dengan aman.

Lebih sekadar menjaga keamanan fizikal, pendekatan Maqasid Syariah dalam konteks Malaysia juga menuntut hifz al-din (pemeliharaan agama) melalui cara yang hikmah.

Perpaduan kaum yang kukuh membolehkan dakwah Islamiah disampaikan dengan berkesan menerusi teladan baik (uswah hasanah), bukannya melalui konfrontasi.

Apabila masyarakat majmuk melihat keadilan dan kasih sayang yang dipraktik oleh umat Islam, ia secara tidak langsung memelihara imej Islam itu sendiri.

Dalam konteks Hifz al-'Aql (pemeliharaan akal), perpaduan kaum menuntut masyarakat untuk menolak naratif ekstremisme dan prejudis yang merosakkan pemikiran.

Maqasid Syariah mendidik umat Islam untuk berfikir secara matang dan strategik iaitu kestabilan sosial didahului demi kelangsungan umat dan negara.

Justeru, memupuk semangat perpaduan bukan sekadar tanggungjawab sosial tetapi ibadah yang memenuhi matlamat tertinggi syariat.

Usul al-fiqh memberi ruang fleksibiliti dalam berinteraksi dengan bukan Islam. Konsep maslahah mursalah (kepentingan umum) digunakan untuk menggubal dasar-dasar yang membawa kebaikan kepada semua kaum selagi tidak melanggar nas syarak yang qat'ie (putus).

Dalam kaedah fiqh pula, terdapat prinsip 'Al-Adah al-Muhakkamah' (adat kebiasaan dapat dijadikan hukum).

Adat resam dan budaya positif kaum-kaum lain yang tidak bertentangan dengan syariat boleh diterima dalam masyarakat Malaysia sebagai sebahagian interaksi sosial.

Selain itu, kaedah 'Dar'ul Mafasid Muqaddamun 'ala Jalbil Masalih' (menolak kerosakan itu didahului daripada mengambil kebaikan) sangat relevan.

Jika sesuatu tindakan atau ucapan perkauman berpotensi mencetuskan huru-hara, ia wajib dihentikan walaupun kononnya tindakan itu untuk mempertahan hak kelompok sendiri. Keamanan negara adalah keutamaan.

Hubungan kaum di Malaysia dalam perspektif Islam adalah bentuk hubungan kehidupan aman dan adil.

Al-Quran mengajar untuk saling mengenali, hadis menuntut keadilan, maqasid syariah menjamin kestabilan manakala usul al-fiqh dan kaedah fiqh memberi fleksibiliti dalam bermuamalah.

Umat Islam mempunyai tanggungjawab besar untuk menjadi contoh dalam mempraktik prinsip tersebut, menjadikan perpaduan sebagai kekuatan, bukannya kelemahan.