Selangor manfaat pusat data pacu permintaan pereka cip tempatan

17 Sep 2026, 2:00 AM
Selangor manfaat pusat data pacu permintaan pereka cip tempatan
Selangor manfaat pusat data pacu permintaan pereka cip tempatan
Selangor manfaat pusat data pacu permintaan pereka cip tempatan
Selangor manfaat pusat data pacu permintaan pereka cip tempatan

SHAH ALAM, 17 SEPT: Selangor memanfaatkan pertumbuhan pesat pusat data di negeri ini bagi mewujudkan pasaran kepada syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan, dengan kemudahan baharu diwajibkan menggunakan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan.

Menurut Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), keperluan kandungan tempatan itu merangkumi reka bentuk IC, sistem penyejukan dan perkhidmatan kejuruteraan berkaitan, sekali gus berpotensi menyalurkan sebahagian pelaburan pusat data yang berkembang pesat di Selangor kepada syarikat tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yong Kai Ping berkata pendekatan itu sebahagian usaha lebih menyeluruh bagi memastikan syarikat semikonduktor tempatan mempunyai akses kepada pelanggan serta peluang berkembang melepasi peringkat syarikat pemula.

“Kami sengaja menyusun sokongan berdasarkan tiga tonggak yang saling berkait iaitu pembiayaan, pelanggan dan akses pasaran kerana keupayaan kejuruteraan yang kukuh sahaja tidak mencukupi jika salah satu daripadanya tiada,” katanya kepada Media Selangor.

Menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2), negeri ini menyasarkan untuk menjadi hab industri maju dan inovasi menjelang 2030 dengan peningkatan automasi, pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta lebih banyak aktiviti ekonomi bernilai tinggi.

Pelan itu turut bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap import, memperkukuh syarikat tempatan dan menyokong pertumbuhan gaji yang mampan.

Antara inisiatif utama ialah membangunkan pusat semikonduktor bertaraf antarabangsa, menyediakan Dana Semikonduktor Selangor untuk menyokong pelaburan dalam syarikat tempatan serta membangunkan IC Design Park Fasa 2 di Cyberjaya bagi menghubungkan pemain industri Malaysia dengan syarikat global.

Seorang pengunjung meneliti pameran yang dipamerkan sempena pameran IC Design Park 1 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 19 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Kai Ping berkata pendekatan itu penting ketika Selangor berusaha mencapai sasaran RS-2 untuk mewujudkan 500 pekerjaan bergaji tinggi dan melahirkan lima syarikat bernilai lebih RM500 juta menerusi ekosistem reka bentuk IC.

Menurutnya, cabaran utama kini adalah membantu syarikat berkembang melepasi peringkat inkubasi kerana bentuk sokongan yang diperlukan pada peringkat pertumbuhan berbeza daripada syarikat peringkat awal.

“Membawa syarikat melalui proses inkubasi dan membolehkan mereka berkembang adalah dua cabaran yang berbeza.

“Pendekatan yang berkesan untuk sokongan peringkat awal tidak semestinya menghasilkan pencapaian yang sama pada peringkat pertumbuhan,” katanya.

Tingkat keupayaan

Ketika ini, asas ekosistem berkenaan sebahagian besarnya sudah tersedia dengan 20 rakan industri menyertai IC Design Park 1 dan IC Design Park 2.

Akademi Lanjutan Semikonduktor Malaysia (ASEM) pula telah melatih 850 jurutera dengan kadar penempatan pekerjaan 100 peratus.

Mengulas lanjut, Kai Ping berkata fasa seterusnya akan memberi tumpuan kepada penyediaan modal pertumbuhan, laluan pengkomersialan yang jelas serta akses kepada pasaran antarabangsa.

Bagi menangani keperluan pembiayaan, Dana Semikonduktor Ehsan bernilai RM100 juta di bawah Ehsan Kapital diwujudkan untuk menyokong peringkat pembangunan cip yang memerlukan modal tinggi termasuk proses tape-out, pengujian dan pembungkusan yang mungkin tidak dapat ditampung menerusi geran peringkat awal.

“Dari segi pembiayaan, kami mewujudkan saluran khusus dan tidak membiarkan syarikat mencari jalan sendiri dalam pasaran.

“Dana Semikonduktor Ehsan di bawah Ehsan Kapital direka khusus untuk menyokong peringkat pembangunan cip yang memerlukan modal tinggi daripada reka bentuk hingga tape-out, pengujian dan pembungkusan yang tidak dapat ditampung geran awal.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), Yong Kai Ping. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Jawatankuasa pelaburan menggabungkan kepakaran teknikal semikonduktor dengan pengalaman modal teroka supaya syarikat menerima pembiayaan serta panduan berasaskan pengetahuan industri,” katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan ARM turut memberi syarikat penyewa akses kepada compute subsystems (CSS) dan token Arm Flexible Access (AFA).

Pemain global seperti Phison, NSW, Weeroc dan Fitipower turut dibawa masuk ke dalam ekosistem bagi memudahkan kerjasama reka bentuk.

Kai Ping berkata syarikat juga akan disokong menerusi pelan hala tuju empat fasa meliputi pembangunan bakat, penggunaan perkakasan dan perisian tempatan, pembangunan harta intelek (IP) sendiri serta pengkomersialan dan pengembangan ke peringkat global.

Menurutnya, matlamat utama adalah membantu teknologi rekaan Malaysia menembusi pasaran termasuk ASEAN, BRICS, Global South serta Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

Beliau menjadikan penyenaraian SkyChip di Pasaran Utama Bursa Malaysia serta kutipan dana RM352 juta, selain pembiayaan pra-Siri A GreatAsic hampir USD7 juta (RM28.4 juta) sebagai contoh pertumbuhan yang mahu dicapai oleh syarikat lain dalam ekosistem itu.

Fokus masa depan

Sementara itu, Kai Ping berkata Selangor akan memberi tumpuan kepada tiga segmen semikonduktor dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang iaitu automotif, ekonomi altitud rendah dan kecerdasan buatan internet pelbagai benda (AIoT).

Katanya, automotif merupakan lanjutan semula jadi daripada asas pembuatan Selangor, manakala dron, pesawat berlepas dan mendarat menegak elektrik (eVTOL) serta kenderaan udara tanpa pemandu lain membuka peluang kepada Malaysia untuk membina kedudukan lebih kukuh di rantau ini.

Seorang peserta sedang berlatih mengendalikan lengan robotik di Kursus Kemahiran Teknologi Teleoperasi Robot dan AI Generatif di Pusat Perniagaan Worldwide, Shah Alam pada 26 Ogos. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

AIoT pula membolehkan syarikat reka bentuk tempatan membangunkan IP sendiri dalam bidang seperti sensor, pemecut AI di peranti (edge AI accelerators) dan modul ketersambungan.

Kai Ping berkata bidang berkenaan turut menyokong perancangan Robotic Campus yang akan menghubungkan IC Design Park 1 di Puchong, IC Design Park di Cyberjaya dan MRANTI Park dalam satu ekosistem melibatkan perkakasan, perisian serta pembangunan bakat.

“AI dan pengkomputeran maju bukan lagi segmen yang berdiri sendiri. Ia menjadi lapisan pemudah cara kepada automotif, dron dan IoT industri,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.