SHAH ALAM, 15 SEPT: 51 peratus responden dari Malaysia percaya negara berada di landasan kemajuan yang tepat.
Peratusan itu dikeluarkan firma kajian antarabangsa, Milieu, yang melibatkan 3,000 responden di enam negara Asia Tenggara yang dikeluarkan hari ini.
Kajian berkenaan mendapati Malaysia mencatat tahap keyakinan lebih tinggi berbanding Singapura dengan 41 peratus dan Thailand sebanyak 25 peratus.
Vietnam merekodkan tahap keyakinan tertinggi apabila 71 peratus responden berpandangan negara mereka bergerak ke arah yang betul, manakala Filipina mencatat tahap terendah dengan hanya 20 peratus.
Secara keseluruhan, hanya 38 peratus responden di enam negara Asia Tenggara berpandangan negara masing-masing jelas bertambah baik atau menunjukkan peningkatan secara perlahan dalam isu yang penting kepada mereka.
Kajian itu menunjukkan tahap keyakinan rakyat banyak dipengaruhi penilaian terhadap perkembangan dalam negara masing-masing, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kepercayaan terhadap kerajaan.
Dalam pada itu, kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan sosial utama di Asia Tenggara dengan 42 peratus responden menyenaraikannya antara tiga kebimbangan utama mereka.
Di Malaysia, separuh atau 50 peratus responden menganggap kos sara hidup sebagai kebimbangan sosial utama, selepas Singapura sebanyak 65 peratus dan Thailand 42 peratus.
Apabila ditanya mengenai isu utama yang dihadapi negara masing-masing, kos sara hidup sekali lagi mendominasi dengan 57 peratus responden di peringkat serantau menyenaraikannya sebagai kebimbangan utama.
Malaysia merekodkan 57 peratus, manakala Singapura dan Thailand masing-masing 68 peratus.
Bagi Malaysia, peluang pekerjaan dan guna tenaga pula menjadi antara isu penting apabila 30 peratus responden menyenaraikannya, manakala 28 peratus berpandangan integriti dan akauntabiliti kerajaan merupakan isu utama.
Kajian turut menunjukkan perbezaan ketara mengikut generasi apabila kos sara hidup menjadi kebimbangan utama bagi semua kumpulan umur bermula 25 tahun.
Bagaimanapun, golongan Generasi Z berusia 16 hingga 24 tahun menunjukkan kecenderungan berbeza apabila isu rasuah serta akauntabiliti kerajaan sedikit mengatasi kos sara hidup, masing-masing dengan 33 peratus dan 32 peratus.
Kajian Milieu’s Social Issues itu dijalankan terhadap 500 responden di setiap negara meliputi Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina antara 23 hingga 30 Julai 2026.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Milieu Asia Tenggara, Cindy Pang, walaupun rantau ini berdepan cabaran yang hampir sama, pengalaman serta jangkaan masyarakat terhadap perubahan berbeza mengikut negara.
Katanya, keadaan itu menunjukkan kepentingan memahami sentimen masyarakat berdasarkan keadaan di peringkat negara dan bukan semata-mata bergantung kepada gambaran serantau.







