SHAH ALAM, 15 SEPT: Enam kawasan di Selangor antara 37 lokasi di seluruh negara yang mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 10 pagi ini.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi di Selangor dengan IPU 182, diikuti Shah Alam (168), Klang dan Petaling Jaya (161), manakala Banting serta Kuala Selangor masing-masing mencatat 157.
Selain Selangor, beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya turut merekodkan bacaan tidak sihat, masing-masing melibatkan Cheras (172), Kuala Lumpur (163) dan Putrajaya (167).
Di Negeri Sembilan, tiga lokasi mencatat bacaan tidak sihat iaitu Nilai (169), Seremban (166) dan Port Dickson (152), manakala Melaka merekodkan bacaan di Alor Gajah (160) dan Bukit Rambai (158).
Pahang pula mencatat bacaan tidak sihat di Jerantut (156), Rompin (152), Balok Baru (162), Indera Mahkota (162) dan Mentakab (157).
Di Johor, bacaan tidak sihat direkodkan di Batu Pahat (162), Tangkak (169), Kota Tinggi (164), Pengerang (161), Pasir Gudang (167), Kluang (152) dan Larkin (170).
Sementara itu, tiga lokasi di Terengganu turut merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Kuala Terengganu (154), Paka (157) dan Chukai (158), manakala Sungai Petani di Kedah mencatat IPU 131.
Di Pulau Pinang, Minden, Georgetown merekodkan bacaan 128, manakala Balik Pulau mencatat 151.
Di Perak pula, Sitiawan dan Ipoh masing-masing merekodkan bacaan 155 dan 151.
Sarawak mencatat tiga lokasi pada tahap tidak sihat iaitu Serian (188), Samarahan (163) dan Kuching (153), dengan Serian merekodkan bacaan tertinggi antara semua lokasi setakat pagi ini.
Secara keseluruhannya, 37 lokasi dilaporkan berada pada tahap tidak sihat, manakala 29 lokasi mencatat bacaan baik, termasuk Perlis, Kelantan dan Sabah serta beberapa kawasan di Kedah, Perak, Melaka dan Sarawak.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 301 ke atas berbahaya.







