SHAH ALAM, 13 SEPT: Polis giat mengesan seorang lelaki dalam rakaman tular yang dilihat menyepak kanak-kanak perempuan dipercayai anaknya di sebuah kedai makan di Telipot, Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung video tular di media sosial jam 10.24 malam tadi.
"Kejadian dipercayai di sebuah kedai makan di Telipot dan video berkenaan dimuat naik oleh pemilik premis menerusi akaun Facebook miliknya.
"Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azmir berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faraheen Azman Lim di talian 011-11136722.







