Jejak impian ke Everest, Mohd Sani hilang dalam banjir Nepal

6 Sep 2026, 2:03 AM
Jejak impian ke Everest, Mohd Sani hilang dalam banjir Nepal
Jejak impian ke Everest, Mohd Sani hilang dalam banjir Nepal

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Impian menjejakkan kaki ke Gunung Everest sejak muda membawa Mohd Sani Harul menyertai ekspedisi ke Kem Induk Everest (EBC) di Nepal, sebelum dilaporkan hilang dalam tragedi banjir di Rasuwa pada 26 Ogos lepas.

Isterinya Nor Azila Shaharuddin berkata minat mendalam Mohd Sani terhadap aktiviti pendakian mendorong Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu merealisasikan impiannya dengan mengunjungi EBC menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Suami saya ketika muda memang berminat dengan aktiviti pendakian tetapi di dalam Malaysia sahaja. Beliau pernah mendaki Gunung Kinabalu sebanyak tiga kali, selain Gunung Tahan dan Gunung Ledang.

“Beliau pernah berkata Gunung Everest ialah impian sejak muda. Jadi, beliau teringin untuk sampai sekali ke EBC walaupun hanya sekadar melawat menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Nor Azila berkata Mohd Sani, 59, aktif dalam aktiviti pendakian sejak awal kerjayanya dan pernah menjadi ahli Rescue Climbers JBPM.

Beliau berkata komunikasi terakhir dengan suaminya adalah menerusi aplikasi WhatsApp pada 26 Ogos kira-kira 5 pagi waktu Malaysia atau 3 pagi waktu Nepal.

Menurut Nor Azila, Mohd Sani memaklumkan beliau akan bergerak ke sempadan Nepal-Tibet, perjalanan yang dijangka mengambil masa kira-kira lima jam dengan kenderaan sebelum bermalam di Gerung, China.

“Sepanjang berada di Nepal, beliau tidak mengaktifkan perkhidmatan perayauan antarabangsa (roaming), sebaliknya hanya menggunakan kemudahan WiFi yang disediakan pihak hotel untuk berhubung dengan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Azila berkata beliau dan seluruh ahli keluarganya terus berharap agar ada khabar gembira mengenai Mohd Sani dan semua rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi itu, selain turut berharap operasi pencarian bersasar yang dijalankan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Nepal membuahkan hasil.

“Kami sekeluarga bersama kenalan tidak putus-putus mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin agar usaha pencarian berhasil serta semua mangsa rakyat Malaysia dapat ditemukan dengan selamat,” katanya.

Nor Azila juga berkata Wisma Putra sentiasa berhubung dengan keluarganya dan memberikan perkembangan terkini mengenai situasi di Nepal sekurang-kurangnya sekali sehari sepanjang operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Mohd Sani dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kumpulannya dalam ekspedisi ke EBC dipercayai terjejas akibat banjir ketika berada di sebuah lembah di Rasuwa.

Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.

Agensi Anadolu melaporkan angka korban akibat bencana itu meningkat kepada 1,220 orang manakala 4,762 orang, termasuk 844 warga asing masih hilang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.