SHAH ALAM, 13 SEPT: Kualiti udara di Selangor menunjukkan perkembangan semakin baik apabila semua enam kawasan pemantauan di negeri ini merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sederhana pagi ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat 7.42 pagi, Johan Setia mencatat bacaan IPU tertinggi di Selangor iaitu 95.
Ia diikuti Shah Alam (79), Banting (74), Petaling Jaya dan Klang masing-masing 71, manakala Kuala Selangor mencatat bacaan terendah di negeri ini dengan IPU 65.
Perkembangan itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 9 September lalu apabila kesemua enam kawasan berkenaan merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat.
Ketika itu, Johan Setia merekodkan IPU 164, Shah Alam (161), Banting (156), Petaling Jaya dan Klang masing-masing 153 serta Kuala Selangor (151).
Secara keseluruhan pagi ini, sebahagian besar kawasan di seluruh negara turut mencatat kualiti udara pada tahap sederhana.
Bagaimanapun, lima kawasan di Sarawak masih merekodkan IPU tidak sihat dengan IPD Serian mencatat bacaan tertinggi 189, diikuti Sri Aman (176), Kuching (157), Samarahan (156) dan Sibu (110).
Sementara itu, lapan kawasan merekodkan kualiti udara baik iaitu Kota Bharu (44), Minden (41), Besut (31), Alor Setar (27), Tanah Merah (26), Langkawi dan Balik Pulau masing-masing 20 serta Kangar (18).
Mengikut kategori IPU, bacaan antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 sebagai berbahaya.







