Jerebu Indonesia: Tiada penuntut Malaysia terjejas, KPT terus pantau - Menteri

12 Sep 2026, 10:08 AM
Jerebu Indonesia: Tiada penuntut Malaysia terjejas, KPT terus pantau - Menteri

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Tiada laporan mengenai penuntut Malaysia terjejas dari segi kesihatan akibat jerebu di Indonesia setakat ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memantau keadaan penuntut Malaysia yang sedang meneruskan pengajian di negara itu menerusi pejabat Education Malaysia Indonesia (EMI).

“Sehingga saat ini belum ada laporan berkaitan dengan keseriusan kesihatan walaupun keadaan jerebu serius di sana,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan di Laman Media sempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Zambry berkata EMI juga akan terus memaklumkan kepada KPT mengenai perkembangan keadaan jerebu serta sebarang kesannya terhadap kalangan penuntut Malaysia.

“Setakat ini yang saya ketahui, bergantung kepada dasar atau perjalanan universiti-universiti yang berkenaan.

“Kalau universiti itu mempunyai masalah yang serius, mungkin universiti berkenaan akan ditutup dan ini juga akan melibatkan pelajar-pelajar kita,” katanya.

Keadaan jerebu di Indonesia sebelum ini dilaporkan semakin buruk, khususnya di Kalimantan, susulan kebakaran hutan dan tanah gambut.

Indonesia turut mempergiat usaha mengatasi kebakaran terbabit di samping meningkatkan penyelarasan dengan negara jiran menerusi mekanisme ASEAN bagi menangani isu jerebu rentas sempadan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.