SHAH ALAM, 12 SEPT: Perubahan cara pengguna Malaysia menemui, memilih dan membeli produk menuntut pemain industri runcit lebih tangkas menyesuaikan pendekatan dengan landskap perniagaan yang semakin berkembang.
Perkara itu menjadi antara tumpuan Retail Summit Asia 2026 menerusi sesi panel bertajuk What’s Next: Proactive Play in an Uncertain Market yang dikendalikan Ketua Syarikat Pemula Niaga dan Pendigitalan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), Salman Ahmad.
Sesi berkenaan turut menampilkan barisan panel terdiri daripada Ketua Perniagaan Digital dan Pemasaran, Perbankan Perusahaan Kumpulan Affin Bank Berhad, Boon Kim San serta wakil Vanilla Crepe, Cecilia Mary Lee.
Perbincangan itu turut menyentuh perkembangan yang mempengaruhi perjalanan pengguna daripada mengenali sesuatu produk sehingga membuat keputusan pembelian dalam landskap peruncitan yang semakin berkembang.
Antara contoh yang diketengahkan ialah perjalanan pertumbuhan Claire Organics serta Bayu Somerset yang berkembang daripada jenama fesyen dalam talian kepada 18 cawangan fizikal.

Retail Summit Asia 2026 turut menghimpunkan pengasas perniagaan runcit dan pemimpin industri bagi berkongsi pandangan serta pengalaman sebenar mengenai perkembangan sektor berkenaan.
Terdahulu, sidang berkenaan dirasmikan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han di Menara AFFIN, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, kelmarin.
Menurut SIDEC, platform seperti itu mencerminkan komitmennya menghubungkan ekosistem syarikat pemula niaga Selangor dengan perbincangan lebih luas yang membentuk masa depan industri peruncitan.







