SHAH ALAM, 12 SEPT: Pengendali pusat data di Selangor perlu menyumbang secara adil terhadap infrastruktur dan daya tahan sistem yang mereka gunakan, selain mengambil langkah serius untuk mengurangkan, menggantikan dan mengitar semula penggunaan air terawat.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata pertumbuhan pesat industri pusat data perlu disertai pengurusan air yang bertanggungjawab supaya keperluan asas penduduk serta perkhidmatan awam penting tidak terjejas.
“Selangor mahu kekal sebagai destinasi utama ekonomi digital, tetapi pertumbuhan itu mesti berkualiti tinggi, bertanggungjawab dan selari dengan daya tampung infrastruktur semula jadi serta awam kita,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Siti Safinah Salleh pada 8 September bahawa penggunaan tenaga oleh pusat data di negara ini meningkat ketika suhu bertambah panas, sekali gus mewujudkan jurang kapasiti penjanaan berasaskan gas sebanyak 9GW yang perlu ditampung kerajaan menjelang 2032.
Menurut beliau, bahagian penggunaan elektrik pusat data melonjak kepada rekod 9.3 peratus pada minggu kedua Ogos berbanding purata tujuh peratus tahun ini.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memandang serius kebimbangan awam terhadap pembangunan pusat data dan tidak akan meluluskan sebarang projek sekiranya bekalan air serta elektrik tidak mencukupi.
Menurutnya, Kerajaan Selangor memantau rapat projek pusat data di negeri ini, khususnya dari segi kapasiti bekalan air dan elektrik.
Penggunaan air perlu lebih cekap
Jamaliah berkata industri pusat data mampu memberi manfaat ekonomi menerusi pelaburan, peluang pekerjaan berkemahiran, pengukuhan rantaian bekalan tempatan dan pemacuan inovasi, namun isu penggunaan air perlu diberi perhatian serius.
Menurutnya, pusat data memerlukan air untuk sistem penyejukan, manakala sistem bekalan air Selangor pada masa sama perlu memenuhi keperluan jutaan penduduk, hospital, sekolah, perniagaan dan industri.
“Negeri ini perlu mengguna pakai pendekatan kitaran air secara menyeluruh dengan mengambil kira sumber air, rawatan dan penghantaran, penggunaan semula, kualiti pelepasan, pengurusan air hujan serta kesan penggunaan air terhadap sungai, akuifer dan ekosistem.
“Setiap liter air yang dapat dijimatkan oleh industri bermakna satu liter daya tahan dikembalikan kepada negeri,” katanya.

Beliau turut menggesa aspek kecekapan air dimasukkan sejak peringkat awal reka bentuk pusat data, termasuk penggunaan sumber air alternatif, rangkaian paip berasingan, kemudahan rawatan serta kapasiti penyimpanan.
Jamaliah berkata sistem penuaian air hujan pintar dan Penyimpanan Tenaga Haba Akuifer (ATES) antara pendekatan yang berpotensi meningkatkan kecekapan penggunaan air dan kelestarian operasi pusat data.
“Kelestarian semakin menjadi kelebihan daya saing apabila pelabur, pelanggan pusat data dan komuniti memberi perhatian lebih besar terhadap risiko alam sekitar dan iklim.
“Selangor tidak seharusnya bersaing untuk menjadi lokasi yang paling longgar syaratnya. Kita perlu menjadi negeri yang paling bersedia, telus dan inovatif,” katanya.
Beliau mahu Selangor menjadi penanda aras bagi pusat data yang menggunakan kurang air terawat, menghasilkan pelepasan karbon lebih rendah, lebih berdaya tahan serta mengekalkan kepercayaan awam.
“Kita perlu menyejukkan awan digital tanpa mengeringkan bumi. Kita perlu mengembangkan ekonomi digital tanpa menghakis hak generasi akan datang,” katanya.







