Festival Turath Selangor ke pentas nasional, Malaysia sasar peneraju ilmu Islam

11 Sep 2026, 7:01 AM
Festival Turath Selangor ke pentas nasional, Malaysia sasar peneraju ilmu Islam
Festival Turath Selangor ke pentas nasional, Malaysia sasar peneraju ilmu Islam
Festival Turath Selangor ke pentas nasional, Malaysia sasar peneraju ilmu Islam

SHAH ALAM, 11 SEPT: Festival Turath Islami yang bermula di Selangor kini melangkah ke pentas nasional, bukan sahaja mengangkat khazanah ilmu Islam, malah menjadi wadah membantu masyarakat mendepani kegelisahan dan kekeliruan dalam kehidupan moden.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata festival yang diperkenalkan pada 2023 itu kini dinaik taraf ke peringkat kebangsaan dengan menghimpunkan lebih ramai tokoh ulama tempatan dan antarabangsa.

Katanya, antara usaha berterusan sejak festival itu diperkenalkan termasuk menterjemahkan karya agung Imam Al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin ke bahasa Melayu, yang kini lengkap keseluruhannya sebanyak 40 jilid.

“Usaha mengangkat karya turath dilaksanakan secara berterusan menerusi penterjemahan karya-karya besar berbahasa Arab ke bahasa Melayu, diikuti program pengkajian dan penelitian sebelum diteruskan dengan penganjuran Festival Turath Islami buat kali pertama pada 2023 yang mengangkat Imam Al-Ghazali dan karya utamanya, Ihya’ Ulumuddin.

“Ketika penganjuran kali pertama, kita berusaha menterjemahkan keseluruhan 40 jilid karya Ihya’ Ulumuddin itu dan Alhamdulillah, selepas tahun keempat, kesemua 40 jilid telah dilengkapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung menerusi program Selamat Pagi Malaysia di RTM1 bagi menguar-uarkan Festival Turath Islami Malaysia 2026, Hikmah Warisan Islam, hari ini.

Festival Turath Islami Selangor (FTIS) yang dibawa ke peringkat kebangsaan sebagai Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) dijangka menarik 75,000 peserta secara fizikal, dengan 42 acara berlangsung dari 13 hingga 20 September di Masjid Putra, Putrajaya.

Amirudin berkata edisi kali ini memberi tumpuan kepada karya Al-Hikam oleh Ibnu Atha’illah Al-Sakandari yang antara lain menyentuh persoalan kehidupan rohani, keikhlasan, pergantungan kepada Allah serta cara manusia berdepan dengan pelbagai kegelisahan.

Katanya, penghayatan terhadap karya turath penting ketika masyarakat berdepan cabaran kehidupan moden yang sering menimbulkan kekeliruan, tekanan dan keresahan.

“Dalam menghadapi modeniti ini, kita perlu ada ilmu, pemahaman yang mendalam, hati yang lembut, jiwa yang tenang dan fikiran yang jelas,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata penganjuran Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan di Kompleks Seri Perdana turut membawa makna tersendiri apabila kediaman rasmi Perdana Menteri dijadikan lokasi pertemuan ilmuwan dan ulama.

Beliau berkata perkembangan itu menggambarkan hubungan antara ulama dan umara dalam mengangkat ilmu sebagai sebahagian daripada pembangunan masyarakat, selain menjadi lembaran baharu dalam usaha menghidupkan kembali tradisi keilmuan Islam.

“Yang menariknya, ia diadakan di kediaman rasmi, Kompleks Seri Perdana, di rumah Perdana Menteri. Bagaimana rumah Perdana Menteri dijadikan pusat keilmuan yang dihadiri oleh rakyat dan para ulama,” katanya.

Tambah Zulkifli, Malaysia berpotensi mengembangkan usaha pengajian turath daripada peringkat nasional ke Nusantara dan seterusnya ke peringkat global, sekali gus muncul sebagai antara peneraju dalam mengembangkan tradisi ilmu Islam.

“Insya-Allah, kalau boleh kita anjurkan muzakarah ulama turath ini setiap tahun. Apa yang kita harapkan daripada muzakarah ini ialah satu kesatuan fikrah untuk bersama memajukan negara.

“Kita juga mempunyai cita-cita besar untuk mewartakan dan meluaskannya ke Nusantara dan barangkali ke peringkat global. Malaysia menerajui usaha ini,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.