SHAH ALAM, 11 SEPT: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menangguhkan permohonan pengampunan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak, umum Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM dalam satu kenyataan memberitahu perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan hari ini.
Dalam mesyuarat itu, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan membebaskan 65 banduan berkuat kuasa hari ini, termasuk banduan bukan warganegara.
“Semua banduan bukan warganegara hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan,” kata kenyataan JPM.
Beberapa media sebelum ini melaporkan dakwaan Najib mungkin akan menerima pengampunan serta kebenaran untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Persekutuan juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020.
Najib tidak lama kemudian memfailkan petisyen pengampunan, dan pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan tempoh hukuman penjara itu dikurangkan setengah menjadi enam tahun manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.







