KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Bantuan pemilikan rumah terutama bagi golongan muda dan pekerja gig menjadi antara tumpuan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 untuk memastikan mereka tidak tercicir daripada memiliki kediaman sendiri.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zulkeflee Sulaiman berkata antara mekanisme disediakan ialah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), khususnya untuk pembeli rumah pertama yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji.
"SJKP boleh membantu terutama pembeli rumah pertama seperti pekerja gig, yang kita tahu mereka ini tidak mempunyai slip gaji. Mereka boleh buat pinjaman dengan kerajaan bertindak sebagai penjamin menerusi bank yang menyertai skim ini.
"Kerajaan mahu memastikan golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama ini tidak tertinggal," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara bertajuk "Dasar Perumahan Negara 2026-2035" terbitan Bernama TV, semalam.
DRN 2026-2035 yang dilancarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 10 Ogos lepas menetapkan hala tuju sektor perumahan negara bagi tempoh 10 tahun menerusi enam fokus, 17 strategi dan 59 pelan tindakan.
Zulkeflee berkata dasar itu turut memberi perhatian kepada isu pengurusan strata, dengan pindaan Akta Pengurusan Strata 2013 yang dijangka dibawa ke peringkat kerajaan tahun depan sebelum dikemukakan di Parlimen.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Perumahan KPKT J. Murali berkata kementerian sedang meneliti garis panduan rumah mampu milik negara termasuk menilai harga berdasarkan lokasi.
Beliau berkata harga RM300,000 tidak semestinya sesuai digunakan sebagai penanda aras di seluruh negara kerana kemampuan dan keadaan pasaran berbeza antara Kuala Lumpur dengan negeri seperti Perlis, Sabah dan Sarawak.
"Kita sudah ada kerangka tersebut dan pada masa ini kita mperhalus. Kita akan sediakan garis panduan rumah mampu milik negara yang akan dilancarkan nanti," katanya.
Selain harga, kebajikan golongan penyewa turut diambil kira walaupun Malaysia antara negara yang merekodkan pemilikan rumah yang tinggi dengan 76 peratus penduduk telah memiliki rumah.
Sehubungan itu, Akta Sewaan Kediaman akan diperkenalkan bagi mewujudkan perlindungan lebih jelas kepada penyewa, pada masa sama nenjaga kepentingan pemilik rumah, katanya.
Tiga perundangan baharu akan digubal mengikut DRN 2026-2035 iaitu Akta Pemaju Harta Tanah, Akta Pengurus Bangunan dan Akta Sewaan Kediaman, selain pindaan terhadap Akta Pengurusan Strata 2013.







