SHAH ALAM, 11 SEPT: Seramai 24 finalis Program Pemecut Tiga Serangkai Selangor 2026 bakal berentap pada Hari Pembentangan Akhir bagi merebut gelaran juara dalam tiga trek program berkenaan pada 14 Oktober depan.
Finalis terdiri daripada peserta trek Token-X, Deep-X dan Retail-X yang akan membentangkan perkembangan, pencapaian serta potensi perniagaan masing-masing pada pentas akhir.
Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Hari Pembentangan Akhir itu akan berlangsung di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) sebagai sebahagian daripada AiSEM@Selangor.
Sepanjang program, peserta melalui proses pembangunan perniagaan menerusi sesi pembelajaran, perkongsian industri dan jaringan bagi membantu mereka membawa syarikat masing-masing ke tahap seterusnya.
Menerusi sesi POWER-UP, peserta didedahkan kepada pandangan pemain utama ekosistem, selain berpeluang membina jaringan dengan peserta daripada ketiga-tiga trek.
Mereka turut mendapat perkongsian daripada alumni Sidec berkaitan pengalaman serta langkah mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
Sidec berkata perjalanan peserta tidak hanya tertumpu kepada persaingan di pentas akhir, sebaliknya ilmu, pengalaman dan jaringan yang dibina sepanjang program boleh terus dimanfaatkan untuk mengembangkan perniagaan.
Pada Hari Pembentangan Akhir itu, 24 finalis akan mengetengahkan pencapaian serta potensi perniagaan masing-masing sebelum seorang juara dipilih bagi setiap trek.
Selain juara, empat tempat pemenang turut disediakan bagi setiap trek.
Sidec turut menggalakkan peserta lain yang mengikuti program berkenaan untuk terus memanfaatkan ilmu, pengalaman dan jaringan yang diperoleh bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.







