KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Polis menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah yang beroperasi di sebuah kondominium mewah di Jalan Ceylon di sini, bulan lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintenden Nuzulan Mohd Din berkata dalam dua serbuan di kondominium mewah itu, enam individu ditahan termasuk empat warga asing selain rampasan pelbagai jenis dadah dan aset bernilai RM9.07 juta.
Beliau berkata dalam serbuan pertama dijalankan hasil maklumat dan risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 3.30 petang, 19 Ogos lepas menahan dua lelaki dan dua wanita warga asing serta seorang lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 35 tahun.
"Hasil pemeriksaan di unit kondominium berkenaan, polis merampas 51 paket serbuk disyaki MDMA dengan anggaran berat 51,686 gram bernilai RM7,752,900," katanya pada sidang media di IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Susulan serbuan pertama itu, Nuzulan berkata polis melancarkan serbuan kedua di unit berlainan di kondominium sama dan menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 35 tahun.
Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk 5,901 gram MDMA, ganja (55 gram), pil yaba (8 gram) dan pil Erimin 5 (150 gram) bernilai RM908,455, selain pelbagai peralatan memproses dadah.
Nuzulan berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati empat daripada enam suspek positif dadah jenis ketamin, amphetamina (AMP) dan metamfetamina, manakala dua lagi negatif.
"Siasatan mendapati kesemua suspek berperanan sebagai pemproses dan pengedar dadah dengan menyewa unit kondominium berkenaan sebelum bahan terlarang itu diedarkan di sekitar kawasan Lembah Klang," katanya.
Beliau berkata polis turut menyita sebuah kenderaan mewah jenis Lexus bernilai RM410,000, wang tunai RM1,000, dua utas jam tangan dan seutas gelang tangan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM9.07 juta.
“Empat suspek dihadapkan ke mahkamah pada 2 Sept lepas mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama, manakala dua suspek lain dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.
-- BERNAMA






