Pegawai polis digantung tugas disyaki dalang sindiket dadah ditahan

29 Jul 2026, 10:06 AM
Pegawai polis digantung tugas disyaki dalang sindiket dadah ditahan

SHAH ALAM, 29 JULAI: Seorang pegawai polis yang digantung tugas sejak tahun lalu dan dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan serta luar negara antara lima lelaki yang ditahan dalam Op Waja oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata operasi yang bermula Sabtu lalu hingga semalam itu dilaksanakan dengan kerjasama JSJN Bukit Aman serta JSJN Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurut beliau, operasi berkenaan berjaya menumpaskan sindiket terbabit selepas lima lelaki tempatan berusia antara 39 hingga 46 tahun diberkas di sekitar Cheras dan Selangor.

Beliau berkata polis turut merampas 410 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 425.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM21.3 juta.

"Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan membabitkan ahli sindiket dari Kelantan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hari ini, lapor Harian Metro.

Hussein berkata sindiket itu menggunakan rumah teres di sekitar Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan sebelum dadah diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.

Beliau berkata semakan mendapati pegawai polis yang digantung tugas itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Katanya, semua suspek direman enam hari bermula 26 hingga 31 Julai bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, saki-baki ahli sindiket kini sedang dikenal pasti dan JSJN akan mengambil tindakan agresif bagi menghapuskan aktiviti pengedaran dadah.

"PDRM tidak sesekali berkompromi dengan pegawai polis atau sesiapa sahaja yang menjadi petualang dalam pasukan dengan penglibatan dalam aktiviti pengedaran dadah," katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.