SHAH ALAM, 8 SEPT: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai meminta sedekah di Jalan Selayang-Kepong Bypass, semalam.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menahan lelaki berkenaan susulan aduan orang awam berhubung aktiviti meminta sedekah di kawasan jalan raya.
IPD Gombak menerusi hantaran di Facebook berkata lelaki itu kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut.
Pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan mengambil tindakan terhadap aktiviti di jalanan termasuk meminta sedekah, menjual atau mengedar risalah serta loteri dan aktiviti lain yang boleh mengganggu keselamatan pengguna jalan raya.
“Orang ramai dinasihati supaya tidak memberikan sumbangan secara terus di kawasan jalan raya kerana boleh menimbulkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna lain.
"Orang ramai turut diminta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati terdapat aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan," menurut hantaran itu.







