SHAH ALAM, 8 SEPT: Keadaan jerebu terus menjejaskan kualiti udara di beberapa negeri apabila puluhan kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi ini.
Di Selangor, enam kawasan merekodkan bacaan tidak sihat dengan Johan Setia mencatatkan IPU tertinggi, iaitu 184, diikuti Shah Alam (166), Kuala Selangor dan Petaling Jaya masing-masing 158 serta Klang dan Banting dengan 157.
Di Kuala Lumpur, Batu Muda dan Cheras turut mencatatkan bacaan tidak sihat masing-masing 157 dan 154.
Keadaan lebih membimbangkan di Sarawak apabila Seri Aman mencatatkan IPU 234, sekali gus berada pada tahap sangat tidak sihat.
Tujuh kawasan lain di negeri itu turut merekodkan bacaan tidak sihat, iaitu Mukah dan Sarikei masing-masing 184, Samalaju (178), ILP Miri dan Bintulu masing-masing 170, Sibu (168) serta Miri (166).
Di beberapa negeri lain, antara kawasan yang mencatatkan kualiti udara tidak sihat iailah Tasek Ipoh (162), Seri Manjung (159), Nilai (157), Tanjung Malim (156), Seremban (153), Pegoh Ipoh (152), Bukit Rambai (149), Alor Gajah (144) dan Segamat (106).
Berdasarkan klasifikasi Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.
Orang ramai disaran mengurangkan aktiviti luar serta mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya golongan berisiko, sekiranya keadaan jerebu berterusan.





