SHAH ALAM, 6 SEPT: Agensi berkaitan di Labuan menyelaras tindakan susulan bagi menghadapi keadaan jerebu selepas bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) antara 150 hingga 170 direkodkan dalam tempoh 24 jam.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat khas penyelarasan tindakan dan kesiapsiagaan agensi Labuan hari ini, dengan penilaian turut meliputi risiko terhadap kesihatan dan keselamatan awam.
Menurut JAS menerusi hantaran di Facebook, aspek persekolahan turut diberi perhatian selain keperluan menyelaras tindakan segera antara agensi sekiranya tahap pencemaran udara meningkat.
“Agenda utama merangkumi pelaporan status kualiti udara semasa, pelan komunikasi dan hebahan maklumat kepada orang awam, serta penyelarasan tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku peningkatan tahap pencemaran udara,” menurut hantaran itu.
Mesyuarat yang berlangsung pada 9 pagi di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan itu dipengerusikan Ketua Polis Daerah Labuan Supt Wan Firdaus Wan Zaki yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.
Ia turut dihadiri wakil JAS, APM, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan serta agensi berkaitan.
JAS berkata penyelarasan antara agensi penting bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil berdasarkan perkembangan kualiti udara, selain maklumat terkini dapat disampaikan kepada orang awam.
“Kerjasama antara agensi berkenaan mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan komitmen berterusan kerajaan dalam pengurusan risiko bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan warga Labuan sentiasa terjamin,” menurut hantaran itu.





