SEPANG, 6 SEPT: Penumpang yang terkandas lebih 12 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 susulan pembatalan penerbangan ke Jakarta, Indonesia berharap keadaan segera pulih bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan.
Redy Dwi Lingga, 21, berkata dia bersama rakannya tiba seawal 6 pagi bagi penerbangan ke Jakarta yang dijadualkan pada 8 pagi namun terpaksa menunggu berjam-jam selepas dimaklumkan penerbangan dibatalkan.
“Tidak sangka jadi macam ini. Saya datang awal pagi untuk penerbangan 8 pagi tetapi akhirnya terpaksa menunggu lama di lapangan terbang.
“Saya harap semuanya dipermudah dan cuaca baik supaya penerbangan dapat disambung semula dengan cepat,” katanya kepada Bernama.
Redy turut berharap pihak berwajib dapat memberikan perkembangan mengenai jadual penerbangan secepat mungkin demi kebajikan penumpang.
“Kalau keadaan masih sama, kami mungkin perlu tunggu lagi dan harapnya semuanya cepat pulih dan penerbangan dapat disambung semula dengan segera,” katanya.
Octavia Suci Siregar, 18, pula berkata penerbangannya yang dijadualkan pada 9.55 malam ini turut dibatalkan menyebabkannya berada di tempat menunggu dikhaskan di KLIA Terminal 1.
Dia berharap syarikat penerbangan segera memaklumkan maklumat terkini tentang jadual penerbangan bagi membolehkan penumpang merancang perjalanan dan sebagainya.
“Saya harap semuanya cepat selesai supaya boleh pulang ke Jakarta. Saya seorang diri, jadi memang akan duduk di KLIA Terminal 1 sehingga pihak syarikat penerbangan beri tarikh baharu penerbangan,” katanya yang tiba di Malaysia minggu lepas.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan sebanyak 31 penerbangan ke Jakarta dibatalkan di semua lapangan terbang seluruh negara hari ini susulan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta berikutan abu vulkanik yang terhasil daripada letusan Gunung Anak Krakatau.
Menurut MAHB, pembatalan yang dilaporkan syarikat penerbangan setakat tengah hari ini, melibatkan penerbangan yang dijadualkan antara 6.45 pagi hingga 11.55 malam.
Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan KLIA mencatat bilangan pembatalan tertinggi dengan 21 penerbangan meliputi 15 di Terminal 1 dan enam di Terminal 2.
Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera, terus meletus dengan pihak berkuasa melaporkan aktiviti pancutan lava dan bunyi dentuman dan gemuruh yang boleh didengar dari sebuah pos pemerhatian.
Letusan itu bermula pada 11.07 malam waktu tempatan pada Jumaat dan berterusan sepanjang pemerhatian dari tengah malam hingga 6 pagi semalam.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia melaporkan “adh” gunung berapi dikenal pasti setinggi 6,000 meter di bahagian Jawa gunung berapa itu manakala kepulan sehingga 15,000 meter di bahagian Sumatera dan beberapa bahagian wilayah Banten di Jawa.
Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta telah digantung hingga 1.30 tengah hari, waktu tempatan hari ini (2.30 petang, waktu Malaysia).







