Para SUKMA: Selangor sasar dua emas badminton, intai lebih banyak

6 Sep 2026, 1:11 PM
Para SUKMA: Selangor sasar dua emas badminton, intai lebih banyak

SHAH ALAM, 6 SEPT: Berbekalkan persiapan hampir lapan bulan, skuad para badminton Selangor tampil dengan keyakinan tinggi untuk memburu kejayaan pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Jurulatih, Anafee Abdullah berkata latihan konsisten serta sokongan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor banyak membantu meningkatkan tahap prestasi 13 atlet yang bakal membawa cabaran negeri pada temasya kali ini.

“Kita sasarkan dua pingat emas, tetapi kalau semuanya bersemangat dan ada rezeki, mungkin kita boleh dapat empat atau lima emas.

“Antara acara yang berpotensi menyumbang pingat adalah kategori SL4 dan SL5 menerusi perseorangan serta beregu,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di Kompleks Belia dan Sukan Shah Alam, di sini hari ini.

Jurulatih Pasukan Badminton Para Sukma Selangor Anafee Abdullah

Menurutnya, cabaran melatih atlet para memerlukan pendekatan berbeza kerana program latihan perlu disesuaikan dengan kemampuan dan keadaan fizikal setiap pemain.

“Kita tidak boleh memberi latihan yang terlalu berat seperti atlet biasa. Kita perlu lihat kepada kemampuan mereka dan meningkatkan tahap kecergasan secara berperingkat.

“Selain itu, pemain juga perlu bijak menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang termasuk arah angin. Pemain juga perlu tahu bagaimana untuk menggunakan keadaan itu sebagai kelebihan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang atlet para badminton Selangor, Yashaiful Yayah, 39, berazam menebus kekecewaan apabila sekadar menduduki tempat keempat pada temasya Para SUKMA Sarawak sebelum ini.

Yashaiful yang berasal dari Klang menyasarkan untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan di podium, malah berharap mampu menyumbang tiga pingat emas buat kontinjen Selangor.

Yashaiful Yayah, 39 Atlet Para Sukma Selangor.

“Persiapan kali ini dibuat lebih awal. Selepas tamat temasya di Sarawak, kami terus memulakan latihan dari tahun 2025 hingga tahun ini.

“Tahun lalu saya kalah di peringkat separuh akhir dan mendapat tempat keempat. Jadi, untuk kali ini saya sasarkan podium dan kalau boleh, tiga pingat emas,” katanya.

Bagi Yashaiful, perjalanan sebagai atlet para badminton bermula selepas beliau mengalami kemalangan pada 2019 meskipun sudah meminati dan bermain badminton sejak sebelum kejadian itu.

Katanya, sokongan keluarga serta rakan-rakan menjadi sumber kekuatan untuk beliau meneruskan minat dalam sukan biarpun berdepan perubahan besar dalam kehidupan.

Penyokong team Selangor Para Sukma di Kompleks Belia dan Sukan Shah Alam turut member sokongan padu kepada pasukan Para Sukma Selangor pada 6 Septemper 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Walaupun keadaan sekarang tidak mengizinkan saya bermain seperti dahulu, saya tetap berusaha untuk terus aktif dan bersaing seperti atlet lain.

“Kepada golongan kurang upaya yang berminat dalam bidang sukan, jangan malu, takut atau segan. Teruskan semangat dan sertai aktiviti sukan yang dianjurkan. Kita semua ada kekurangan masing-masing, jadi jangan sesekali rasa rendah diri atau putus asa,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.