KOTA TINGGI, 6 SEPT: Polis menahan seorang lelaki warga emas kerana disyaki menetak tangan kanan isterinya menggunakan sebilah parang di Taman Desa Sejahtera, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis itu menerima maklumat berkaitan kejadian yang berlaku kira-kira 9.30 malam daripada orang awam, yang memaklumkan wanita berusia lingkungan 70-an itu dalam keadaan berlumuran darah akibat ditetak.
Beliau berkata susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota telah ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap lelaki yang juga berumur lingkungan 70-an itu.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku akibat perselisihan faham kerana mangsa (dikatakan) memasang televisyen dengan kuat, (manakala) suspek yang berada dalam keadaan mabuk bertindak menetaknya dengan parang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata mangsa yang ditetak sekali hanya mengalami luka kecil kira-kira satu sentimeter pada tangan kanan dan kemudiannya menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi serta berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
Terdahulu, tular beberapa foto menerusi laman Facebook yang memaparkan kejadian itu.







