SHAH ALAM, 14 JULAI: Seorang warga emas berusia 74 tahun parah selepas motosikal ditunggangnya dirempuh penunggang yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol di Jalan Kuala Pilah-Tampin berhampiran simpang Matrikulasi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu berlaku apabila penunggang motosikal Modenas Kriss membelok secara mengejut ke simpang kanan sebelum melanggar motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang mangsa, lapor Berita Harian.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang menunggang Yamaha Lagenda dari arah Selaru menghala ke Pekan Kuala Pilah.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal Modenas Kriss dari arah Kuala Pilah dikatakan membelok secara tiba-tiba ke simpang kanan.
"Jarak yang terlalu dekat menyebabkan penunggang itu gagal mengelak sebelum melanggar bahagian sisi kanan motosikal Yamaha Lagenda dari arah bertentangan," katanya.
Muhamad Mustafah berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.
Katanya, penunggang Modenas Kriss, lelaki berusia 53 tahun, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah untuk siasatan dan didapati menunggang di bawah pengaruh alkohol.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) dan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.







