SHAH ALAM, 6 SEPT: Seorang pemandu ditahan selepas dipercayai menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram kepada tiga pelancong asing di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam operasi penguatkuasaan pada 4 September lalu.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor memaklumkan tangkapan dibuat hasil risikan dan pemantauan oleh Stesen Penguatkuasa KLIA di terminal berkenaan.
“Sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz bersama pemandunya telah ditahan dan disita untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati individu berkenaan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada seorang penumpang warga Bangladesh dari Terminal 1 KLIA ke Jalan Pudu, Kuala Lumpur dengan tambang RM30 yang dibayar selepas tiba di destinasi,” katanya menerusi Facebook.
Individu terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pihak yang didapati bersubahat dalam kegiatan berkenaan turut berdepan tindakan mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta sama.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter yang disediakan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA atau membuat tempahan menerusi aplikasi e-hailing.
Sebarang aduan berkaitan trafik boleh disalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform e-Aduan JPJ dengan menyertakan butiran pengadu dan aduan.






