SHAH ALAM, 6 SEPT: Kuching dan Sri Aman di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat masing-masing 223 dan 215 setakat jam 10 pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata sebanyak 35 kawasan lain turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, manakala 23 kawasan berada pada tahap sederhana dan lapan kawasan pada tahap baik.
Antara kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Shah Alam dan Jerantut masing-masing dengan IPU 168, diikuti Nilai (167), Seremban (166), Batu Muda dan Cheras masing-masing (163) serta Putrajaya (163).
Di Sarawak, bacaan tidak sihat turut direkodkan di ILP Miri (182), Miri (175), Samalaju (200), Bintulu (198), Mukah (194), Sibu (181), Sarikei (188), Samarahan (192) dan IPD Serian (182).
Azuri berkata keadaan berkenaan berlaku susulan cuaca kering berterusan yang melanda sebahagian Rantau Selatan ASEAN.
“Menurut laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 5 September lalu, sebanyak 184 titik panas dikesan di Kalimantan, 373 di Sumatera dan satu di Malaysia iaitu di Perak.
“ASMC turut mengesan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal meliputi bahagian utara Borneo serta asap daripada kelompok titik panas di Kalimantan dan bahagian tengah serta selatan Sumatera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, JAS memberi perhatian khusus terhadap kebakaran kawasan belukar dan tanah gambut berhampiran Jalan Sibujaya Barat, Mukah serta Sungai Nai, Daro, Sarawak.
Menurut Azuri, kebakaran di Jalan Sibujaya Barat berjaya dikawal dan dipadamkan bagi kawasan seluas sembilan hektar manakala kira-kira satu hektar masih dalam tindakan pemadaman.
“Di Sungai Nai, Daro pula, kira-kira 2.5 hektar daripada keseluruhan tiga hektar kawasan terbakar masih terbakar, namun keadaan dilaporkan terkawal berdasarkan maklumat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“JAS Sarawak akan meneruskan pemantauan di kedua-dua lokasi termasuk menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran terkini status kebakaran dan keluasan kawasan terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Azuri menegaskan JAS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pembakaran terbuka yang dikenal pasti berpunca daripada aktiviti manusia khususnya jika aktiviti tersebut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.
Beliau berkata JAS akan terus memantau perkembangan kualiti udara dan keadaan jerebu serta memperkukuh kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan segera dilaksanakan.






