SHAH ALAM, 5 SEPT: Hidupan liar termasuk spesies bukan sasaran berdepan risiko kecederaan serius atau mati akibat jerat haram yang dipasang dan disamarkan di kawasan hutan.
Ancaman itu dikesan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) apabila 27 jerat haram ditemukan serta dimusnahkan di beberapa lokasi ‘hotspot’ dalam hutan sekitar Selangor dan Perak, baru-baru ini.
Rondaan penguatkuasaan dari 11 hingga 25 Ogos lalu itu membabitkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Perbadanan Taman Negeri Perak serta Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Ketua Pengarah PERHILITAN Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata jenis dan saiz jerat lazimnya bergantung kepada spesies hidupan liar yang disasarkan.
“Jumlah itu tidak termasuk jebak dan perangkap lain yang turut ditemukan semasa rondaan. Dari segi penggunaannya, jenis dan saiz jerat lazimnya bergantung kepada spesies hidupan liar yang disasarkan.
“Jerat spring lazimnya digunakan untuk menyasarkan babi hutan, manakala jerat sembat dawai dan jerat sembat nilon boleh digunakan untuk menyasarkan hidupan liar yang lebih besar atau lebih kecil bergantung kepada diameter dawai atau tali serta saiz pelentik yang digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata secara teori, semakin besar saiz jerat dan pelentik digunakan, semakin besar saiz hidupan liar yang berpotensi terjerat.
Menurutnya, dalam sesetengah situasi, jerat yang dipasang mungkin menyasarkan spesies tertentu seperti harimau, namun turut berisiko menjerat hidupan liar lain yang melalui kawasan berkenaan.
“Tambahan pula, jerat sering dipasang dan disamarkan dengan persekitaran sekeliling bagi mengurangkan kemungkinan dikesan.
“Keadaan ini menyebabkan spesies bukan sasaran turut berisiko mengalami kecederaan serius atau mati sekiranya terjerat dan tidak dibebaskan dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Abdul Kadir berkata kerjasama antara agensi menerusi rondaan berterusan dan tindakan berfokus merupakan antara inisiatif pencegahan utama bagi melindungi hidupan liar serta habitatnya daripada diceroboh individu tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kegiatan menjerat secara haram bukan sahaja mengancam spesies hidupan liar, malah memberi kesan terhadap ekosistem flora dan fauna yang menjadi khazanah negara.







