SHAH ALAM, 5 SEPT: Pavilion Selangor mengetengahkan pelbagai inovasi dan produk pertanian termasuk melon serta ternakan kambing Barbados Black Belly sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pameran itu turut menampilkan teknologi bioflok, rantaian pengeluaran padi, Laman Melon serta pameran ikan asli dan ikan hiasan marin dalam usaha menyokong keterjaminan makanan serta sumber protein negara.
“Setiap kali MAHA berlangsung, memang tidak pernah saya lepaskan peluang untuk hadir, apatah lagi acara ini berlangsung di MAEPS, Serdang, Selangor. Tahun ini, saya sekali lagi berkunjung ke MAHA 2026 yang bertemakan ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’.
“Acara wajib, tentunya ke Pavilion Selangor dengan tarikan Laman Melon, pameran Oyen yang julung kali diperkenalkan, pameran ikan asli dan ikan hiasan marin,” katanya menerusi Facebook.

Amirudin berkata beliau memulakan kunjungan ke pameran dwitahunan itu dengan melawat Dewan C yang menampilkan laman agromekanisasi dan teknologi.
Menurutnya, ruang berkenaan memberi tumpuan kepada pertanian pintar, automasi serta simulasi pertanian berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Ia sekaligus memperlihatkan bagaimana teknologi mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor agro,” katanya.
MAHA 2026 berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dari 28 Ogos hingga 6 September dengan tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’.
Ekspo dwitahunan itu mengetengahkan konsep pemodenan dan inovasi pertanian menerusi pelbagai produk, teknologi, perkhidmatan serta peluang dalam sektor agromakanan.








