MAHA 2026 buka tirai dengan MoU RM1.49 bilion

1 Sep 2026, 6:06 AM
MAHA 2026 buka tirai dengan MoU RM1.49 bilion

SHAH ALAM, 1 SEPT: MAHA Trade Days 2026 membuka tirai dengan 14 memorandum persefahaman (MoU) bernilai keseluruhan RM1.49 bilion dimeterai pada hari pertama, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi sektor agromakanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerjasama itu merangkumi pelbagai subsektor strategik termasuk input pertanian, pengeluaran dan pemprosesan hasil, ternakan, produk halal, nanas, teknologi serta pembangunan kapasiti.

Antara kerjasama bernilai tinggi ialah pembangunan loji pemprosesan nanas di Tukau, Miri, Sarawak bernilai RM1.031 bilion.

Turut dimeterai ialah kerjasama dalam pengeluaran dan pengedaran produk pertanian, pengembangan kapasiti ladang ayam pedaging berteknologi tinggi serta pembangunan baja khusus tanaman nanas, lapor Berita Harian.

“Nilai RM1.49 bilion direkodkan pada hari pertama ini sebahagian daripada sasaran keseluruhan lebih RM8 bilion bagi nilai pelaburan dan perdagangan MAHA 2026.

“Sasaran itu mencerminkan aspirasi kementerian menjadikan MAHA bukan sekadar platform pameran, tetapi medan strategik menjana peluang perdagangan, menarik pelaburan dan memperluas akses pasaran antarabangsa bagi industri agromakanan Malaysia,” katanya pada majlis perasmian di Serdang, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata kementeriannya berharap menerima peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2027 bagi menghadapi cuaca tidak menentu dan ancaman El Nino.

Menurutnya, keperluan peruntukan sudah dibincangkan bersama Kementerian Kewangan dan terdapat persetujuan awal untuk menambah dana bagi menghadapi cabaran cuaca global yang dijangka lebih serius tahun depan.

“Daripada pertemuan itu, ada persetujuan menambah peruntukan bagi membantu kita menghadapi cabaran cuaca global dan El Nino yang dijangka melanda Malaysia lebih hebat pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata bantuan subsidi untuk nelayan dan pesawah juga akan diteruskan menerusi Belanjawan 2027, manakala bantuan kepada kumpulan yang sudah mampu berdikari akan dinilai semula.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.