AFFIN catat penajaan swasta terbesar Selangor FC, tarik pelaburan korporat

4 Sep 2026, 8:57 AM
AFFIN catat penajaan swasta terbesar Selangor FC, tarik pelaburan korporat
AFFIN catat penajaan swasta terbesar Selangor FC, tarik pelaburan korporat
AFFIN catat penajaan swasta terbesar Selangor FC, tarik pelaburan korporat

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Kerjasama strategik tiga tahun antara Kumpulan AFFIN dan Selangor FC dijangka menarik lebih banyak syarikat korporat melabur dalam pembangunan bola sepak serta industri sukan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata kerjasama itu mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi industri sukan, khususnya apabila sesebuah kelab diurus secara profesional, telus dan mempunyai hala tuju jelas.

"Perjanjian bersama AFFIN merupakan penajaan swasta terbesar pernah diterima oleh skuad Gergasi Merah.

“Penglibatan AFFIN membuktikan sektor swasta yakin untuk melabur dalam bola sepak apabila sesebuah kelab diuruskan secara profesional dan mempunyai visi jangka masa panjang.

“Ini bukan sekadar suntikan dana, tetapi membuka lebih banyak peluang dalam menjayakan visi dan projek jangka panjang yang telah dirancang bagi membawa Selangor FC ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Terdahulu, Selangor FC dan Kumpulan AFFIN memeterai kerjasama strategik yang menyaksikan institusi perbankan itu dilantik sebagai rakan perbankan rasmi kelab berkenaan.

Johan mewakili Selangor FC menandatangani perjanjian itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah, dengan disaksikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang juga Pengerusi Selangor FC.

Dalam pada itu, Johan berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kewangan kepada kelab, malah menunjukkan kepentingan penglibatan pelbagai pihak dalam memperkukuh pembangunan bola sepak tempatan.

“Bakat tempatan mempunyai potensi untuk pergi jauh sekiranya diberikan ruang, sokongan serta suntikan dana yang tepat.

“Kami berharap kerjasama seperti ini dapat membuka mata lebih banyak pihak korporat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam membangunkan bola sepak dan sukan negara,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.