Anggota TDM selamatkan individu hampir lemas, lakukan CPR 15 minit

3 Sep 2026, 11:30 AM
Anggota TDM selamatkan individu hampir lemas, lakukan CPR 15 minit

BETONG, 3 SEPT: Tindakan pantas seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) berjaya menyelamatkan seorang individu yang hampir lemas di Sungai Nanga Mujau, Spak, di sini hari ini.

Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ketika anggota Kompeni B Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) sedang menjalankan operasi kemanusiaan mengagihkan bekalan air mineral kepada penduduk Rumah Mujau.

Menurut kenyataan itu, ketika operasi agihan dilakukan, anggota tentera terdengar jeritan orang awam meminta pertolongan selepas seorang ahli keluarga mereka hampir lemas di sungai berhampiran.

Mangsa kemudian dapat ditarik ke tebing oleh ahli keluarganya namun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menyedari situasi itu, Koperal Mohammad Badrulamin Mohd Rosdi dari Kompeni B 13 RAMD segera memberikan CPR kepada mangsa.

“Hasil tindakan profesional dan konsisten melaksanakan CPR hampir 15 minit, mangsa akhirnya separuh sedar dan dibawa naik dengan selamat dari tebing sungai,” menurut kenyataan itu.

Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Layar, Spak pada 11.15 pagi dengan kenderaan tentera sebelum ditempatkan di zon kecemasan pada 12 tengah hari untuk pemantauan lanjut oleh pegawai perubatan.

TDM menyifatkan tindakan Mohammad Badrulamin serta anggota Kompeni B 13 RAMD terlibat mencerminkan kesiapsiagaan pasukan itu bukan sahaja dalam melaksanakan misi bantuan logistik bencana, malah melindungi keselamatan dan nyawa komuniti setempat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.